
SEBUYAU: Program Penutupan Literasi Outdoor dan Santuni Rakyat anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Batang Lupar bersama Pusat Khidmat Parlimen Batang Lupar merupakan komitmen berterusan pihak KEMAS dan pemimpin setempat dalam memperkasa pendidikan asas di kawasan luar bandar, selaras dengan aspirasi pembangunan sosial yang inklusif.
Program bermula pada 10.00 pagi itu dihadiri seramai 50 peserta dan dirasmikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli.
Beliau menegaskan bahawa usia bukan penghalang untuk seseorang menimba ilmu.
“Tiada istilah terlambat untuk belajar. Semangat dan kesungguhan adalah kunci utama kejayaan dalam menguasai kemahiran menulis dan mengira,” ujar beliau semasa penutupan program di Dewan Masyarakat Kampung Skitong, Sebangan, pada hari ini.
Sementara itu, Pegawai KEMAS Daerah Simunjan Maimunah Latip berkata pembukaan Kelas Pendidikan Literasi Dewasa (LEADS) adalah antara inisiatif KEMAS bagi membasmi buta huruf di kawasan luar bandar.
Jelasnya, kelas ini berperanan sama seperti Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) yang telah diwujudkan di pelbagai lokasi dalam kawasan Sebuyau.
“Antara tujuan utama kelas ini adalah untuk memastikan masyarakat luar bandar turut menikmati akses kepada pendidikan asas, sejajar dengan keperluan semasa,” katanya.
Program ini bertujuan menilai tahap penguasaan asas 3M (Membaca, Menulis, Mengira) dalam kalangan peserta kelas melalui pendekatan pembelajaran santai serta kaedah berasaskan persekitaran.
Selain itu, ia turut menjadi platform untuk mendekati komuniti pedalaman dan memperkenalkan pelbagai program kendalian KEMAS.
Dalam program yang sama, Mohamad Shafizan turut menyampaikan sumbangan sebuah kerusi roda serta bakul makanan kepada 20 penerima dalam kalangan golongan asnaf di kampung berkenaan.
-UKAS