
MIRI: Polis menggesa saksi kejadian kemalangan ngeri membabitkan treler yang meremukkan kabin treler lain sehingga mengorbankan dua lelaki di sini semalam, tampil memberikan keterangan.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohamad Farhan Lee Abdullah berkata kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dengan tubuh mereka tersepit di dalam kabin yang remuk.
“Treler berkenaan dalam perjalanan dari bulatan Saberkas menuju ke Miri Bypass apabila ia memperlahankan kenderaan di lampu isyarat Pujut 1B.
“Semasa proses berhenti, lori yang sedang diangkut telah melanggar bahagian hadapan kabin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Mohd Faizul Ab Rahim di talian 014-8582582 atau 085-430479, atau hadir ke balai polis terdekat.
Pemandu terbabit berusia 54 tahun, manakala penumpang berusia 44 tahun.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam perkembangan berasingan, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menggesa orang ramai memberi ruang dan masa kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan di Jalan Pujut 1B itu.
“Polis dan pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menjalankan siasatan mereka. Biarkan mereka menyelesaikan siasatan dan mengeluarkan dapatan mereka,” katanya kepada pemberita.
Oleh Adum Liu