Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KEMALANGAN
  • Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet kerana terlanggar burung
  • KEMALANGAN

Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet kerana terlanggar burung

Utusan Sarawak 1 month ago
PANGLIMA Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhammad Norazlan Aris ketika meninjau lokasi insiden Kemalangan Pesawat F/A-18D Hornet di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuantan baru-baru ini. Foto BERNAMA

KUANTAN: Kemalangan pesawat tempur F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuantan pada 21 Ogos lepas berpunca daripada pelanggaran dengan burung, kata Panglima Tentera Udara Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris. 

Beliau berkata hasil siasatan Lembaga Siasatan TUDM mendapati kesan pelanggaran seekor burung bangau yang berada di atas landasan telah menyebabkan kegagalan fungsi enjin kiri pesawat itu. 

“Penemuan itu adalah berdasarkan analisa kamera litar tertutup (CCTV), analisa daripada sistem perakam penerbangan dan pemeliharaan rekod dengan bantuan Tentera Laut Amerika Syarikat, data teknikal serta analisa yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan, Jabatan Kimia, Polis Diraja Malaysia serta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara,” katanya.

Beliau yang ditemui di Pangkalan Udara Kuantan di sini hari ini berkata pengoperasian pesawat F/A-18D Hornet akan diteruskan seperti biasa, dengan pesawat itu telah menjalani latihan penerbangan untuk melihat keadaan semasa. 

Saya rasa yakin bahawa tiada (masalah pesawat) yang boleh menjurus kepada (masalah) teknikal dan lebih kepada kejadian yang tidak dapat dielakkan iaitu kemasukan burung yang agak besar dan menyebabkan pesawat itu tidak dapat berlepas pada malam berkenaan,” katanya. 

Muhamad Norazlan berkata kemalangan itu dikenal pasti berlaku ketika pesawat F/A-18D Hornet berlepas dengan kelajuan 146 knot pada ketinggian hampir 10 meter, sebelum kedua-dua anak kapal itu melompat keluar kira-kira 50 meter daripada pesawat berkenaan.

Beliau berkata pihak pangkalan penerbangan juga telah memastikan landasan itu dalam keadaan selamat digunakan selepas kerja-kerja pengusiran burung dijalankan.

“Mungkin seekor burung berada di landasan pada masa dan lokasi yang tidak sesuai, sekali gus menyebabkan pelanggaran itu berlaku,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata juruterbang Mejar Mohamad Azhar Alang Kamarudin, 34, serta jurusensor senjata Kapten Mohamad Izzuddin Mohamad Salleh, 28, kini dalam proses pemulihan dan dijangka kembali bertugas pada 2 Oktober ini.

“Mereka masih berehat dan hadir secara berkala untuk pemeriksaan perubatan. Jika keadaan mengizinkan, mereka akan memulakan latihan menggunakan simulator sebelum kembali meneruskan penerbangan seperti biasa,” katanya.

Pada 21 Ogos lepas, media melaporkan dua anggota TUDM cedera selepas terbabit dalam insiden kemalangan pesawat pejuang F/A-18D Hornet di Lapangan Terbang Sultan Haji Ahmad Shah di sini.– Bernama

Continue Reading

Previous: Lori hilang kawalan, pemandu maut tersepit di Lawas
Next: Man injured after fall at Kuching International Airport

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.