SEOUL: Pasukan penyiasat berjaya mengekstrak data awal daripada salah satu kotak hitam pesawat Boeing 737-800 milik Jeju Air yang mengorbankan 179 nyawa dalam kemalangan di Muan, dekat sini, minggu lalu.
Penyiasat dari Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) termasuk wakil syarikat Boeing mula melakukan pemeriksaan di tapak kemalangan dekat barat daya Muan sejak kejadian Ahad lalu.
Timbalan Menteri Penerbangan Awam Korea Selatan, Joo Jong-wan mengesahkan penemuan kedua-dua kotak hitam pesawat berkenaan.
Bagi perakam suara kokpit, beliau mengesahkan proses mengekstrak data awal selesai dijalankan.
Untuk kotak hitam kedua pula, katanya perakam data penerbangan itu dijumpai dengan penyambung yang hilang.
“Pakar-pakar sedang menjalankan semakan akhir untuk menentukan cara mengekstrak data daripadanya.
“Berdasarkan data awal ini, kami merancang untuk mula menukarkannya ke dalam format audio,” katanya yang bermaksud pasukan penyiasat akan dapat mendengar komunikasi terakhir juruterbang.
Pada awalnya, terdapat pihak yang mengandaikan kemalangan pesawat berkenaan berlaku berpunca pelanggaran dengan burung, namun siasatan secara lanjut sedang giat dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Terdapat juga persoalan mengenai kemungkinan kegagalan mekanikal apabila media tempatan melaporkan, gear pendaratan dikeluarkan dengan betul pada percubaan pendaratan pertama pesawat Jeju Air di Lapangan Terbang Muan sebelum gagal pada percubaan kedua.
Menurut Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan Korea Selatan, siasatan kemalangan yang dijalankan Lembaga Penyiasatan mencakupi semakan menyeluruh terhadap pelbagai keterangan dan bukti.
Mengenai keadaan mayat yang ‘rosak teruk’ sehingga menyukarkan proses mengenalpasti, Presiden Sementara Korea Selatan, Choi Sang-mok, memaklumkan lebih banyak mayat berjaya diserahkan kepada waris mangsa untuk upacara pengebumian.
“Semalam, pengenalan semua 179 mangsa berjaya diselesaikan.
“Penyiasat sedang menjalankan siasat bersama mengenai punca kemalangan ini. Justeru, analisis dan semakan menyeluruh mengenai struktur pesawat serta data kotak hitam akan mendedahkan punca kemalangan ini,” katanya.
– AFP