SARIKEI: Dua warga emas lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak perempuan terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Bulat di sini pada petang semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, kereta jenis Hyundai Getz yang dinaiki dua warga emas lelaki berusia lingkungan 63 dan 69 tahun bertembung dari arah bertentangan dengan kereta jenis Perodua Bezza yang dinaiki dua wanita berusia 21 dan 47 tahun serta seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
“Pihak kami menerima panggilan kecemasan berkenaan kemalangan itu sekitar 5.10 petang.
“Sembilan anggota bomba bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata, setibanya di lokasi kemalangan, pasukan bomba dimaklumkan bahawa tiga mangsa yang menaiki Perodua Bezza adalah dari Kuching ingin menuju ke pekan Julau.
“Dua mangsa yang menaiki Hyundai Getz pula ingin bergerak menuju ke pekan Jakar.
“Tiada mangsa yang tersepit dalam kemalangan tersebut. Mangsa dalam kereta Perodua Bezza berjaya keluar dengan sendiri ke lokasi selamat.
“Sementara itu, dua mangsa yang berada di dalam kereta Hyundai Getz tidak dapat bergerak keluar dari kereta dan dibantu keluar oleh anggota bomba yang berada di lokasi kejadian,” katanya.
Bagaimanapun katanya, kesemua mangsa yang terlibat mengalami kecederaan ringan dan diberi rawatan awal di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seterusnya mangsa diserah kepada pihak hospital dan dibawa dengan menggunakan ambulan untuk menerima rawatan selanjutnya.
“Operasi menyelamatkan mangsa kemalangan selesai sepenuhnya 6.35 petang,” katanya.
Oleh EARL ANEK