SARIKEI: Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan maut di Kilometer 438 Jalan Betong/Sarikei/Meradong semalam, diminta menghubungi pihak polis untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah (KPD) Sarikei, Superitenden Aswandy Anis berkata kemalangan itu membabitkan motosikal jenis Yamaha R25 dan lori tiga tan yang berlaku pada kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku semasa motosikal tersebut dalam proses memotong kenderaan di hadapan, terlanggar tepi sebelah kanan lori yang datang dari arah bertentangan.
“Penunggang motosikal yang merupakan lelaki berusia 43 tahun telah meninggal dunia akibat kecederaan parah bahagian tangan dan kaki.
“Pembonceng wanita berusia 39 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia lima tahun mengalami kecederaan tangan, kaki dan kepala.
“Kes ini disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan masih dalam siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media malam tadi.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Ahmad Mustaqim Idris di talian 010-4427240 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Beliau berkata penunggang motosikal telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Sarikei.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk bedah siasat, manakala pemandu lori berusia 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya agar berhati-hati semasa memandu serta mematuhi undang-undang jalan raya bagi memastikan keselamatan diri dan pengguna jalan raya yang lain.
Oleh Earl Anek