
SIBU: Statistik kemalangan jalan raya di bahagian ini menunjukkan trend membimbangkan apabila jumlah kemalangan maut pada 2025 merekodkan angka tertinggi dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, sebanyak 39 kes kemalangan maut direkodkan di Bahagian Sibu sepanjang 2025, meningkat berbanding 32 kes pada 2024 dan 36 kes pada 2023.
“Bagi tempoh 2020 hingga 2025, 2025 mencatatkan jumlah kemalangan maut tertinggi di Sibu, sekali gus meletakkan kawasan ini antara yang mencatat kadar kemalangan jalan raya yang tinggi di Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di sebuah Stesen Minyak Petronas di sini, hari ini.
Menurut beliau, statistik turut menunjukkan peningkatan bagi kes cedera parah, iaitu daripada enam kes pada 2023 kepada 13 kes pada 2025.

Sementara itu, bagi kategori kecederaan ringan dan kerosakan kenderaan, sebanyak 2,019 kes direkodkan pada 2023, meningkat kepada 2,097 kes pada 2024, dan 2,094 kes pada 2025.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya meningkatkan tahap kewaspadaan dan sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas, khususnya ketika musim perayaan, bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“Matlamat utama kita ialah memastikan semua rakyat dapat meraikan perayaan dengan selamat, pulang ke kampung dan kembali ke destinasi masing-masing tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini, supaya perayaan dapat disambut dalam suasana gembira, aman dan sejahtera bersama keluarga tersayang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama dan tidak harus dipikul oleh polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) semata-mata.
Dalam pada itu, Lee turut menggesa orang ramai agar menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang kesalahan lalu lintas berbahaya, termasuk perbuatan memandu melawan arus yang boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.
“Marilah kita bersama-sama memainkan peranan masing-masing dalam memastikan keselamatan jalan raya demi kesejahteraan kita semua. Keselamatan bukan satu pilihan, tetapi satu keutamaan,” katanya.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang.
Oleh Tarani Lanting