Keadaan di lokasi kejadian
KUCHING: Seorang lelaki maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kereta dan motosikal di Kilometer 17, Jalan Kota Samarahan–Asajaya petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Samarahan, Supt Damataries Lautin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 7.22 malam apabila Toyota Vios dan motosikal Honda EX5 bertembung di jalan dua hala ketika hujan.
“Siasatan awal mendapati Toyota Vios yang dipandu pegawai bank berusia 39 tahun dari arah Sebuyau menuju Kuching, manakala motosikal mangsa secara tiba-tiba masuk ke laluan kereta dan menyebabkan pelanggaran di bahagian hadapan kanan,” katanya hari ini.
Penunggang motosikal berusia 39 tahun dari Kampung Asajaya Laut, mengalami kecederaan parah di paha kiri dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian pada jam 7.45 malam.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.
Pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.
Kedua-dua kenderaan telah dibawa ke Balai Trafik Polis Kota Samarahan untuk pemeriksaan, manakala lokasi kejadian telah diperiksa semula untuk siasatan lanjut.