SARATOK: Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum melanggar pembetung di Kilometer 413.9 Lebuh Raya Pan Borneo berhampiran Bukit Perabun, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kemalangan maut itu berlaku sekitar 7.20 pagi ketika mangsa memandu sebuah Perodua Bezza berwarna merah dari arah Saratok menuju Betong.
Mangsa dikenali sebagai Freddie Isa, 42, dari Rumah Naing Sungai Melak Kaki Wong, Saratok.
“Siasatan awal mendapati kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan melanggar pembetung,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebelum kejadian, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kaki Wong selepas menghadiri majlis perkahwinan di Awik, Saratok.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Saratok.
Kenderaan terbabit mengalami kerosakan teruk pada bahagian hadapan susulan perlanggaran berkenaan.
“Punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian mangsa sendiri yang gagal mengawal kenderaan dengan baik sehingga terbabas,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Inspektor Stephen Elly dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Saratok.
Oleh Adi Safarman





