Kemalangan kendiri di Pungguk Tapang, empat mangsa cedera

Facebook
WhatsApp
EMPAT individu, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, cedera selepas terlibat dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah Toyota Vios di Pungguk Tapang sebelum Bukit Begunan, hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

SRI AMAN: Empat individu, terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita, cedera selepas terlibat dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah Toyota Vios di Pungguk Tapang sebelum Bukit Begunan, di sini, hari ini.

Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.09 petang.

Susulan laporan tersebut, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 37 kilometer dari balai.

Jentera bomba bersama anggota tiba di lokasi pada 2.47 petang dan mendapati sebuah Toyota Vios terbabas sebelum berada di bahu jalan.

Kemalangan itu melibatkan empat mangsa yang kesemuanya mengalami kecederaan.

PASUKAN bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa selepas sebuah Toyota Vios terbabit dalam kemalangan kendiri di Pungguk Tapang sebelum Bukit Begunan, Sri Aman, hari ini. Foto PGO Bomba Sarawak

Tiga daripada mangsa bagaimanapun berjaya keluar dari kenderaan terbabit sebelum ketibaan pasukan bomba.

Seorang lagi mangsa masih berada di dalam kenderaan ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi.

Bagaimanapun, pemeriksaan awal mendapati mangsa berkenaan tidak tersepit di dalam kenderaan.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian menjalankan pemeriksaan awal terhadap keadaan mangsa dan kenderaan bagi memastikan tindakan menyelamat dapat dilakukan dengan selamat.

Usaha mengeluarkan mangsa yang masih berada di dalam Toyota Vios itu sedang dijalankan dengan mengambil kira faktor keselamatan mangsa serta anggota bomba yang terlibat.

Operasi diketuai oleh PBK I Fadli Buyong dengan kekuatan seramai 14 anggota.

Pasukan turut menggunakan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hiux dan sebuah Urvan bagi menjalankan operasi berkenaan.

PGO JBPM Sarawak bagaimanapun belum memaklumkan keadaan terkini kesemua mangsa serta punca sebenar kemalangan.

Maklumat lanjut mengenai perkembangan operasi dan keadaan mangsa akan diperoleh selepas operasi penyelamatan selesai.

Oleh Adi Safarman