

OPERASI KELUARKAN MANGSA… Pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan kediri di Jalan Sibu-Kanowit (berhampiran Jambatan Durin) malam tadi. Foto Bomba
SIBU: Seorang lelaki dan seorang wanita berdepan detik cemas apabila kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan kendiri di Jalan Sibu-Kanowit (sebelum Jambatan Durin), malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak memberitahu, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Penyelamat dan Pemadam Kebakaran (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Jaya digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 11.41 malam.
“Komander Operasi (KO) melaporkan kejadian kemalangan kendiri melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Viva.
“Pemandu, seorang lelaki, berjaya keluar dari kenderaan sebelum ketibaan pihak bomba. Seorang lagi mangsa, wanita dewasa, didapati tersepit pada bahagian kaki kiri di tempat duduk penumpang hadapan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) telah menjalankan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.
“Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada 12.30 tengah malam,” katanya.
Oleh Tarani Lanting