
JULAU: Seorang lelaki berumur 28 tahun maut selepas motosikal jenis Modenas Kriss 100 yang ditunggangnya mengalami kemalangan kendiri di Jalan Entabai, hari ini.
Ketua Polis Daerah (KPD) Julau, DSP Alif Haiqal Ramesh Abdullah, berkata pihaknya dimaklumkan berkenaan kemalangan maut tersebut lebih kurang 5.10 petang.
“Kemalangan disyaki berlaku apabila mangsa menunggang seorang diri dari rumah panjang menuju ke arah Pekan Julau.
“Sampai di tempat kejadian di jalan lurus, tiba-tiba motosikal hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan terbabas memasuki tebing di laluan sebelah kanan.
“Mangsa menunggang dengan tidak memakai topi keledar dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak perubatan Klinik Kesihatan Julau pada 6.15 petang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, siasatan awal pihaknya mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri yang hilang kawalan semasa menunggang motosikal lalu terbabas masuk ke tebing jalan.
“Namun siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) APJ 1987.
“Mayat telah dihantar ke Hospital Sarikei untuk proses bedah siasat,” katanya.
Oleh Earl Anek