
ROBAN: Satu kemalangan jalan raya membabitkan dua lori dilaporkan berlaku di Dabai Rasuk Lichok, Jalan Pan Borneo Saratok-Sarikei, melibatkan empat orang mangsa awal pagi tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok telah menerima panggilan kecemasan pada 6.27 pagi berhubung kejadian tersebut.

Seramai lapan anggota BBP Saratok yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan l, Abdul Rahman Sabi telah dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori melanggar belakang sebuah lagi lori di hadapan.
“Terdapat empat orang mangsa, tiga orang daripada mangsa selamat dan seorang mangsa iaitu kelindan lori yang berada dibelakang mengalami kecederaan ringan di sebelah kaki kiri akibat terperangkap di tempat duduk hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
PGO berkata mangsa dikeluarkan oleh pasukan bomba dengan cara memotong dibahagian pintu lori yang telah remuk seterusnya menggunakan pengusung bagi mengeluarkan mangsa.
“Mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dilokasi dan dibawa ke Klinik Roban untuk menerima rawatan,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman