
SARIKEI: Seorang lelaki berumur 21 tahun patah lengan kiri dan kecederaan di paha kiri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jalan Repok, malam tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Leftenan (PA) Shahrol Azizi Zaidi, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kemalangan tersebut pada 10.54 malam.
“Respons dengan panggilan kecemasan, seramai tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarikei digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, anggota APM menjalankan pemeriksaan awal terhadap mangsa dan didapati mengalami patah lengan kiri serta kecederaan di paha kiri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal oleh anggota APM Sarikei.
“Mangsa segera dihantar ke hospital menggunakan ambulans APM.
“Khidmat khas selesai sepenuhnya pada 11.36 malam selepas mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan selanjutnya,” katanya.
Oleh Earl Anek