Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kemalangan bas UPSI tamparan hebat buat sistem pengangkutan pelancongan
  • SEMASA

Kemalangan bas UPSI tamparan hebat buat sistem pengangkutan pelancongan

Utusan Sarawak 1 day ago
MENTERI MOTAC, Dato’ Sri Tiong King Sing.

BINTULU: Insiden kemalangan bas pelancongan yang melibatkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini disifatkan sebagai tamparan hebat terhadap sistem pengangkutan pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya yang juga Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Sri Tiong King Sing berkata, kejadian tragik itu bukan sahaja meragut nyawa dan mencederakan pelajar, malah turut menjejaskan keyakinan antarabangsa terhadap keselamatan pelancongan Malaysia.

“Insiden ini mencetuskan kebimbangan serius dalam kalangan rakan kerjasama pelancongan dari ASEAN, Asia Barat, China, Jepun dan Korea. 

“Mereka kini menilai semula rancangan menghantar pelajar pertukaran ke Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau hari ini.

Menurut beliau, lebih 500 pelajar antarabangsa dijadualkan menyertai program pertukaran di Sabah antara Jun hingga Ogos ini, namun ketidaktentuan sistem pengangkutan pelancongan menimbulkan keraguan terhadap keselamatan mereka.

Tiong menjelaskan, kelemahan kawal selia menjadi punca utama isu ini berlarutan selepas kuasa penyeliaan pengangkutan pelancongan dipindahkan daripada MOToAC kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Akta Pelesenan Kenderaan Pelancongan 1999 (Akta 594) asalnya memberikan kuasa penuh kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), namun selepas pemindahan kuasa, hanya Sabah, Sarawak dan Labuan masih di bawah bidang kuasa kami.

“Akibatnya, tiada rangka kerja pengawalseliaan menyeluruh dapat diwujudkan untuk memastikan perkhidmatan pengangkutan pelancongan mematuhi ciri-ciri keselamatan dan piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, kementerian telah mencadangkan beberapa langkah reformasi seperti had pemanduan harian, keperluan dua pemandu bagi perjalanan jarak jauh, rehat wajib, ujian air kencing, sistem GPS masa nyata serta perlindungan insurans mandatori.

Namun, katanya, cadangan tersebut gagal dilaksanakan secara menyeluruh berikutan MOTAC tidak lagi memegang kuasa kawal selia secara langsung.

“Keselamatan pelancong bukan sekadar isu logistik, ia mencerminkan tahap profesionalisme dan kesediaan negara menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Jika kita gagal memastikan keselamatan pelawat, imej negara sebagai destinasi pelancongan serantau akan terjejas,” tegasnya.

Beliau turut merujuk laporan Scrap Car Comparison dari United Kingdom pada 2023 yang meletakkan Malaysia di kedudukan ke-9 paling membimbangkan untuk pelancong global dari segi keselamatan jalan raya dan tempat kedua di Asia Tenggara.

Sehubungan itu, MOTAC menggesa agar semua kementerian dan agensi berkaitan, khususnya Kementerian Pengangkutan mempercepat proses pemulangan semula kuasa pengawalseliaan kepada MOTAC seperti yang termaktub dalam undang-undang.

“Hanya dengan langkah ini, kita dapat membina semula keyakinan antarabangsa, memperkukuh keselamatan pelancong dan memastikan Malaysia benar-benar bersedia menerima kehadiran pelawat global dengan yakin dan selamat,” ujar Tiong.

Oleh Carolyne Utih

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: Jambatan baharu di Batang Samarahan, jalan dua hala catat kemajuan 11.61 peratus
Next: MOT wujudkan sistem pangkalan data, elak pemandu bas bermasalah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.