

SIMANGGANG: Satu kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres dan lori treler berlaku sekitar 1.38 pagi di Kilometer (KM) 17, Lebuh Raya Pan Borneo Sri Aman-Kuching, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintenden Dennis Bunyam berkata siasatan awal mendapati bas ekspres berkenaan membawa lapan penumpang serta dua pemandu dalam perjalanan dari Mukah menuju ke Kuching.
Menurut beliau, kejadian berlaku ketika bas tersebut sedang dalam proses untuk masuk ke simpang kawasan rehat Midsar Cafe di KM17 sebelum sebuah lori treler yang membawa muatan tiang piling melanggar bahagian belakang kanan bas berkenaan.
Perlanggaran tersebut menyebabkan bahagian sisi bas dan lori mengalami kerosakan, namun tindakan pantas pemandu berjaya mengelakkan situasi yang lebih buruk.
Kesemua lapan penumpang bas tidak mengalami kecederaan serius, sementara dua pemandu bas dan pemandu lori hanya mengalami kecederaan ringan.
Mereka yang cedera telah dibawa ke Hospital Sri Aman untuk menerima rawatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu secara cuai dan membahayakan.
Oleh Adi Safarman