SIBU: Kemajuan Sarawak dalam bidang kecerdasan buatan (AI), tenaga boleh diperbaharui dan transformasi hijau perlu disandarkan kepada nilai moral, integriti serta perpaduan, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, cita-cita untuk menjadikan Sarawak sebagai peneraju ekonomi digital dan pembangunan mampan hanya akan tercapai sekiranya pembangunan fizikal serta pertumbuhan ekonomi bergerak seiring dengan pembinaan sahsiah masyarakat.
“Teknologi mesti sentiasa dipandu oleh nilai, etika dan kebijaksanaan.
“Kemajuan material tanpa asas moral adalah kosong, kekayaan ekonomi tanpa kesejahteraan rohani tidak mampan, manakala pembangunan fizikal semata-mata tidak mampu mentakrifkan sebuah masyarakat yang berjaya sekiranya tidak disertai integriti, belas ihsan dan sahsiah yang kukuh,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, pada Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain sempena Sambutan Hari Sarawak 2026 di Hotel Kingwood, hari ini.
Abang Johari berkata, sambutan Hari Sarawak perlu terus menjadi platform untuk memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dan agama, selain memperingati detik bersejarah 22 Julai 1963.
Beliau berkata, keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini lahir daripada hubungan erat masyarakat majmuk yang telah lama hidup dalam suasana saling menghormati, sekali gus menjadi antara kekuatan utama negeri itu.
Menurutnya, majlis kesyukuran yang menghimpunkan pelbagai penganut agama mencerminkan semangat “Segulai Sejalai” apabila rakyat berkumpul bukan sebagai komuniti berasingan, tetapi sebagai sebuah keluarga besar Sarawak.
Dalam pada itu, beliau menegaskan agama terus memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang aman kerana setiap agama berkongsi nilai sejagat seperti kasih sayang, keadilan, toleransi dan sikap saling menghormati.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri yang bertanggungjawab bagi Majlis Kesyukuran Agama-Agama Lain Datuk Dr Penguang Manggil, Pengarah Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) Sarawak Dato Georgina Apphia Ngau serta tetamu lain.
Oleh Tarani Lanting

