
LINGGA: Kemajuan dunia moden kini bergerak dengan pantas, khususnya melalui teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang mempermudah kehidupan seharian rakyat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang berkata, teknologi masa kini telah mengubah cara masyarakat menjalani aktiviti harian.
“Dahulu, apabila kita parkir kereta, kita perlu menggores kupon parkir. Kini, dengan aplikasi telefon mudah alih, pembayaran parkir menjadi lebih mudah, cepat dan efisien,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Randau@Begunan di Rumah Jalong, Jungkong Pandak A, Balau, Lingga, semalam.

Mong turut menekankan bahawa lawatan yang sering dilakukan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke luar negara adalah bertujuan menambah ilmu dan idea yang dapat diaplikasikan untuk memajukan negeri dalam sektor yang memberi manfaat kepada rakyat, termasuk pertanian dan penternakan di kawasan luar bandar.
“Perancangan dalam sektor pertanian dan penternakan berkembang pesat untuk memudahkan pemasaran hasil pertanian,” katanya.
Majlis yang turut dihadiri oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dari beberapa daerah itu memberikan peluang mereka berkongsi idea dan pengalaman, selain melihat secara langsung kemajuan yang dicapai sesebuah kampung.
“Perbincangan dan pertukaran idea ini dapat membantu memajukan kawasan masing-masing,” tambah Mong.

Beliau juga menekankan bahawa kemudahan jalan raya yang semakin baik memudahkan rakyat untuk berhubung dan menziarahi sesama mereka, berbeza dengan keadaan dahulu yang sukar untuk berhubung kerana jalan yang masih daif.
Majlis Randau@Begunan ini sekali lagi menekankan kepentingan kolaborasi antara kerajaan, ketua masyarakat dan penduduk untuk memastikan kemajuan teknologi dan pembangunan luar bandar memberi manfaat terus kepada rakyat Sarawak.
Dalam majlis tersebut, Mong turut menyampaikan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kerajaan Sarawak kepada beberapa Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
Rumah Andrew Ranggau, Empelanjau Balau menerima RM5,000 manakala Biro Wanita RM4,000. Rumah Jalong pula menerima RM10,000 bagi JKKK dan RM3,000 bagi Biro Wanita.
Selain itu, bagi Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Tahun 2026, sebanyak RM100,000 diperuntukkan untuk pembinaan parit baharu di belakang rumah bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur di kawasan itu.
Oleh Adi Safarman