SINGAPURA: Kemajuan sesebuah negara itu perlu bermula dengan rakyat, kata Speaker Dewan Rakyat Parliamen Malaysia Tan Sri Johari Abdul.
Menurut Johari, ia juga harus disokong dengan ekosistem yang baik di mana ianya teratur dengan perancangan yang baik dan perlaksanaan yang kukuh.
Melihat kepada Malaysia beliau berkata terdapat cabaran bagaimanakah mahu membawa rakyat untuk bekerja seiring dengan kerajaan ke arah “satu objektif jelas ke mana kita mahu menuju.”
“Di mana kedudukan dalam negara daripada segi ekonomi… serantau dan di rantau Asia.. ia bergantung kepada persediaan dan persiapan rakyat itu sendiri,” katanya di Majlis Bersama Dispora Malaysia di sini, semalam.
Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar.
Johari berada di republik itu bagi mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya Seah Kian Peng, hari ini.
“Jika tidak kita tidak akan menghala ke arah satu tujuan yang betul.. secara sedar atau tidak sedar akhirnya kita hanya sia-siakan masa dan sumber kita,” katanya.
Beliau percaya “masyarakat perlu diterapkan disiplin” dan “dibimbing dengan baik.”
Bagi tujuan itu, katanya kerajaan akan meneruskan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang memerlukan anak muda menjalani latihan di kem tentera selama 45 hari.
Johari juga menyatakan anak muda juga akan dihantar menjalani Pendidikan, Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang disepadankan dengan kehendak industri.
Ia sebagai persediaan menerima kemasukan pelaburan asing tidak lama lagi seperti dari China, India dan Turkiye.
“Kami baru-baru ini memeterai MOA (Memorandum Perjanjian) dengan China bernilai kira-kira RM170 bilion. Sekarang, jika orang Cina datang, adakah rakyat kita bersedia untuk menghadapi cabaran itu? Jujur dengan anda, kita belum bersedia.
“Jadi itulah sebabnya tindakan segera perlu diambil untuk melatih anak-anak muda ini,” katanya.
Johari juga melihat ia sebagai langkah yang bermanfaat “serampang dua atau tiga mata” di mana “selain daripada memenuhi keperluan pelabur, kita juga meningkatkan pendapatan generasi muda di masa depan,” katanya. – Bernama