
MARUDI: Timbalan Menteri di Jabatan Premier ( Pemantauan Buruh, Imigresen dan Projek) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala gembira melihat penduduk rumah panjang di kawasan Poyut Lubok Nibong yang telah banyak menikmati perubahan.
Katanya, antara perubahan nyata ialah kebanyakan penduduk telah membangunkan rumah panjang baharu dari rumah panjang kayu bertukuar ke rumah panjang batu yang cukup selesa.

Lebih 60 peratus penduduk rumah panjang di kawasan ini mendirikan rumah panjang bersimen dengan struktur yang kuat dan reka bentuk yang cantik.
“Saya berharap dengan kediaman yang cukup selesa ini, tali perpaduan dan setiakan antara satu sama lain dapat dieratkan lagi,” katanya semasa berucap ketika berkunjung sempena Hari Gawai di lima rumah panjang di kawasan Poyut Lubok Nibong dekat sini baru-baru ini.
Beliau juga berharap kerjasama antara penduduk rumah panjang perlu dipertingkatkan dan mewujudkan persefahaman yang baik untuk membangunkan rumah panjang selari dengan rumah-rumah panjang di kawasan lain.
Antara rumah yang beliau serta rombongan kunjungi ialah Rumah (Rh) Umbar Sg Melikat, Rh Sator Lg Ensulai, Rh Joseph Chong, Rh Entawan Kerbau A dan Rh Mulin Kerbau B.
Dalam kunjungan tersebut beliau turut mengumumkan bantuan perutunkan Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada kelima-lima rumah panjang yang dikunjunginya untuk membantu meringankan pembelanjaan perayaan Gawai.
Oleh Jiku Juguong