Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kemajuan AI mesti berteraskan etika dan nilai kemanusiaan – PM Anwar
  • SEMASA

Kemajuan AI mesti berteraskan etika dan nilai kemanusiaan – PM Anwar

Utusan Sarawak 3 hours ago
PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan syarahan khas bertajuk “Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin” di Universiti Tokyo hari ini. Foto BERNAMA

TOKYO: Pembangunan kecerdasan buatan (AI) mesti berpaksikan etika, nilai kemanusiaan dan pemahaman mendalam masyarakat bagi memastikan kemajuan teknologi kekal inklusif serta mampan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata AI tidak seharusnya dilihat semata-mata suatu bidang khusus, sebaliknya sebagai faktor merentas disiplin yang mempengaruhi ekonomi, teknologi dan hampir setiap bidang ilmu.

“Masa depan terletak pada penguasaan ilmu pelbagai disiplin yang berteraskan etika dan nilai kemanusiaan,” katanya ketika menyampaikan syarahan khas bertajuk Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin di Universiti Tokyo di sini, hari ini.

Anwar berkata agenda pembangunan Malaysia di bawah kerangka MADANI memberi penekanan yang kukuh kepada nilai murni dan kemajuan yang berfokuskan insan dalam menghadapi perkembangan teknologi yang pesat.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk “Nilai Kemanusiaan dalam Peradaban Manusia-Mesin” di Universiti Tokyo hari ini. Foto BERNAMA

Beliau turut menegaskan bahawa masa depan akan dikuasai oleh mereka yang mampu menggabungkan kemajuan teknologi dengan kefahaman mendalam mengenai masyarakat serta nilai-nilai kemanusiaan.

Perdana Menteri berkata AI perlu berfungsi untuk memenuhi keperluan pembangunan sebenar, termasuk menambah baik perkhidmatan awam, meningkatkan produktiviti serta menyokong sektor utama seperti pendidikan, kesihatan, pertanian dan kejuruteraan.

Beliau berkata AI juga boleh membantu menangani cabaran struktur seperti masyarakat menua, namun perkara itu memerlukan pengukuhan kapasiti negara dalam pembangunan bakat, infrastruktur dan tadbir urus data bagi memastikan penggunaan teknologi yang bertanggungjawab.

“Keutamaan yang lebih baik ialah keupayaan untuk menentukan di mana AI harus digunakan, di mana ia perlu dihadkan dan di mana pertimbangan manusia mesti kekal diutamakan,” katanya.

Anwar menegaskan AI tidak mempunyai matlamat yang ditetapkan sejak awal, tetapi terbentuk melalui keputusan manusia berasaskan undang-undang, institusi dan tanggungjawab moral.

SEBAHAGIAN tetamu yang hadir pada syarahan khas yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertajuk “Nilai Kemanusiaan Dalam Peradaban Manusia-Mesin” di Universiti Tokyo hari ini. Foto BERNAMA

Walaupun Malaysia menerima sepenuhnya kemajuan teknologi, beliau berkata AI mesti berkhidmat kepada manusia dan memperkukuh nilai kemanusiaan, bukannya melemahkannya, dengan masyarakat mengekalkan nilai seperti kesedaran, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan.

“Kita mesti membina sistem berkhidmat untuk manusia dan memperkayakan nilai kemanusiaan, bukan merendahkannya; institusi kekal bertanggungjawab kepada mereka; serta masyarakat mengingati apa tidak boleh diwarisi oleh mesin bagi pihak kita iaitu kesedaran, tanggungjawab, integriti dan keprihatinan antara satu sama lain,” katanya.

Menjawab soalan seorang pelajar Malaysia di Jepun mengenai bagaimana graduan dari Jepun boleh menyumbang kepada agenda AI Malaysia, Anwar berkata pelajar Malaysia di Jepun mesti memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi AI negara menjelang 2030.

Beliau berkata peranan mereka tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut membawa tanggungjawab lebih luas yang dibentuk melalui pendedahan mereka kepada masyarakat dan budaya Jepun.

“Itulah sebabnya kamu dihantar ke sini,” katanya, sambil menyatakan bahawa pengajian di Jepun menawarkan gabungan unik antara disiplin akademik yang tinggi dan pemahaman mendalam tentang masyarakat.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi soal jawab selepas menyampaikan syarahan khas bertajuk “Nilai Kemanusiaan dalam Peradaban Manusia-Mesin” di Universiti Tokyo hari ini. Foto BERNAMA

Pada sesi itu, Perdana Menteri turut menceriakan suasana dengan berseloroh bahawa singkatan “AI” bukan sahaja merujuk kepada kecerdasan buatan, tetapi juga kepada “Anwar Ibrahim”, yang mengundang gelak ketawa dalam kalangan hadirin.

Sesi syarahan tersebut berlangsung dengan kehadiran penuh, apabila dewan universiti yang memuatkan 500 orang dipenuhi pelajar dan ahli akademik.

Anwar, yang kini dalam lawatan rasmi tiga hari ke Jepun, memulakan program hari ini di Universiti Tokyo, dengan beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Presiden Universiti Tokyo Prof Teruo Fujii sebelum menyampaikan syarahan khas tersebut.

Pada masa ini, lebih 2,000 pelajar tajaan kerajaan Malaysia sedang menuntut di Jepun.- Bernama

Continue Reading

Previous: Dua gempa sederhana landa Filipina dalam tempoh dua jam, tiada risiko tsunami kepada Malaysia
Next: Amaran rebut petir, hujan lebat di 10 negeri termasuk Miri dan Marudi hingga  6.00 petang

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.