
SIBU: Ilmu pertolongan cemas bukan sekadar kemahiran asas untuk menyelamatkan nyawa, malah merupakan tanggungjawab sosial setiap warganegara yang prihatin terhadap keselamatan komuniti.
Pengerusi Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) Cabang Sibu, Penghulu Chua Hiong Kee, berkata kemahiran itu turut memupuk semangat perpaduan dan belas kasihan dalam masyarakat apabila setiap individu mengambil berat terhadap kesejahteraan antara satu sama lain.
“Pertolongan cemas mencerminkan semangat luhur penuh kasih sayang yang memberi manfaat bukan sahaja kepada diri sendiri, malah kepada orang lain. Ia adalah kemahiran yang wajar dipelajari oleh semua,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa majlis Sambutan Hari Pertolongan Cemas Sedunia 2025, anjuran BSMM Cabang Sibu di sebuah hotel di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Kaunselor Kevin Lau yang mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II, Datuk Michael Tiang Ming Tee.
Menurut Chua, pembelajaran pertolongan cemas merupakan proses sepanjang hayat yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
“BSMM Cabang Sibu menggalakkan penglibatan masyarakat melalui pelbagai inisiatif agar pertolongan cemas menjadi lebih mudah diakses dan diintegrasikan dalam kehidupan seharian. Dengan kemahiran ini, masyarakat dapat memperkukuh keselamatan dan daya tahan komuniti,” katanya lagi.
Beliau turut mendedahkan bahawa BSMM Cabang Sibu telah menjadi peneraju dalam latihan pertolongan cemas sepanjang tahun ini, dengan melatih semakin ramai individu agar memiliki pengetahuan asas dalam bidang tersebut.
“Selaras dengan matlamat ‘Seorang Penolong Cemas di Setiap Rumah’, BSMM Cabang Sibu telah membangunkan siri kursus pertolongan cemas dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin, yang terbuka kepada semua peringkat umur dan keperluan,” jelasnya.
Oleh Akun Giman