
MIRI: Suasana penuh semangat dan ceria mewarnai pelaksanaan Program Kem SMART Siri 3/2025 yang berlangsung selama dua hari, bermula 4 hingga 5 Oktober lalu.
Seramai 37 peserta terdiri daripada pelajar Kolej Komuniti Daerah Miri dan ahli Skuad Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah menyertai program tersebut yang bertujuan membina jati diri serta memupuk semangat kerjasama dan disiplin dalam kalangan belia.
Program anjuran AADK Sarawak dengan kerjasama Kolej Komuniti Daerah Miri itu menjadi platform penting untuk memupuk nilai kepimpinan, meningkatkan kemahiran insaniah dan membentuk sikap positif dalam kalangan belia.
Menurut kenyataan AADK Miri, inisiatif tersebut turut menyokong usaha berterusan agensi itu dalam membimbing golongan berisiko melalui pendekatan pendidikan, motivasi dan pemulihan sosial.
“Program seperti ini diharap dapat melahirkan generasi muda yang berdaya tahan, berdisiplin dan bebas daripada pengaruh negatif, sekali gus menyokong matlamat AADK ke arah masyarakat Malaysia yang sejahtera dan bebas dadah,” jelas kenyataan itu semalam.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Pengarah AADK Negeri Sarawak, Abdul Hamediee Ibrahim dengan kehadiran Ketua AADK Daerah Miri, Rosmah Nasir, Timbalan Pengarah Pengurusan Kolej Komuniti Daerah Miri, Nooraini Bojeng serta Timbalan Pengerusi Skuad AADK Daerah Miri, Ketua Kaum Zehan Yaman.
Oleh Liong Chai Ling