
KUCHING: Pertubuhan Perkembangan Insan Sarawak (PPIS) dengan kerjasama Lions Club Kuching Unity menganjurkan Kem Kesihatan 2025 di CityOne Megamall semalam, sekali gus mencatat sejarah sebagai program jangkauan kesihatan terbesar pernah dianjurkan di bandar raya ini.
Kem bertemakan ‘Wellness for All: Empowering Communities Through Health’ itu menghimpunkan lebih 40 rakan strategik terdiri daripada hospital, farmasi, agensi kebajikan, institusi pendidikan serta perusahaan sosial dalam usaha memperluas akses kesihatan dan pendidikan kesedaran kesihatan kepada masyarakat.
Di bawah kepimpinan Pengerusi Penganjur, Madame Manjeet Kaur Sidhu program ini menumpukan kepada pendidikan, pencegahan, pengesanan awal dan penjagaan komuniti secara menyeluruh.

Beliau berkata program tersebut bukan sekadar acara harian tetapi gerakan komuniti yang membawa mesej kesihatan untuk semua.
“Kami percaya setiap orang berhak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang baik. Sokongan para penaja dan rakan strategik bukan sahaja menyelamatkan nyawa, malah membina sebuah Sarawak yang lebih sihat dan berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Antara perkhidmatan percuma yang ditawarkan termasuk saringan kesihatan, konsultasi perubatan, derma darah, rawatan akupuntur, pemeriksaan pergigian dan mata, sokongan kesihatan mental, program kesedaran kanser, klinik berhenti merokok, penilaian disleksia, nasihat diet profesional, perkhidmatan farmasi dan maklumat penjagaan selepas bersalin.
Selain itu, ruang khas gerai komuniti turut disediakan bagi membuka peluang kepada vendor tempatan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan usahawan kraf tangan untuk mempamer dan mempromosikan produk mereka secara percuma sekali gus menggalakkan penyertaan komuniti dan keusahawanan tempatan.
Program berkenaan dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin yang menyatakan sokongan terhadap inisiatif kesihatan berasaskan komuniti.
Program itu turut menerima sokongan daripada pelbagai institusi, termasuk hospital seperti Hospital Umum Sarawak (HUS), Borneo Medical Centre (BMC), Sunway Medical Centre dan Timberland Medical Centre serta rangkaian farmasi seperti Farmasi Caring, Farmasi Kingdom dan Farmasi Trinity.
Oleh Amanda L