
PETRA JAYA: Kem Ihya Ramadan 2026 Siri ke-11 yang menghimpunkan pelajar sekolah sekitar Kuching menjadi platform penting dalam usaha membentuk kepimpinan serta sahsiah generasi muda berteraskan nilai agama.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, program seumpama itu wajar terus disokong kerana mampu memupuk jati diri serta kepimpinan anak muda sejak usia awal.
Sehubungan dengan itu, beliau mengumumkan peruntukan sebanyak RM60,000 bagi menyokong penganjuran program tersebut pada tahun hadapan.
“Program seperti ini amat penting kerana kepimpinan masa depan terletak pada generasi muda. Jika kita mempunyai anak muda yang berkarisma, maka harapan masa depan kita akan menjadi lebih cerah.
“Seperti pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Justeru, kita perlu membentuk asas kepimpinan serta nilai yang baik sejak awal lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kem Ihya Ramadan 2026 Siri ke-11 yang berlangsung di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kuching, hari ini.
Kem selama tiga hari dua malam itu melibatkan penyertaan seramai 96 pelajar daripada 10 sekolah sekitar Kuching dengan pengisian program berbentuk kerohanian serta pembangunan sahsiah.
Menjelas lanjut, Fadillah berkata, dalam era kemajuan teknologi, generasi muda perlu diperkukuhkan dengan nilai agama serta pembentukan hati yang baik agar mampu menghadapi cabaran semasa.
Tambahnya, kepimpinan bukan sahaja berkait dengan jawatan, sebaliknya bermula dengan kemampuan seseorang individu memimpin diri sendiri sebelum mempengaruhi orang lain ke arah kebaikan dalam keluarga, masyarakat dan negara.
Turut hadir Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie serta Pengarah Program Kem Ihya Ramadan 2026 merangkap Pengerusi Pertubuhan Sahabat Amal Negeri Sarawak Wan Lukmanhakim Wan Sajali.
-UKAS