Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Kelvin Yii gesa semakan semula pemotongan elaun wilayah petugas kesihatan Sabah, Sarawak
  • SEMASA

Kelvin Yii gesa semakan semula pemotongan elaun wilayah petugas kesihatan Sabah, Sarawak

Utusan Sarawak 14 hours ago
AHLI Parlimen Kuching, Kelvin Yii menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menilai semula keputusan untuk mengurangkan elaun Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi doktor dan ahli farmasi yang dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

KUCHING: Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) supaya menilai semula keputusan untuk mengurangkan elaun Bayaran Insentif Wilayah (BIW) bagi doktor dan ahli farmasi yang dipindahkan ke Sabah dan Sarawak.

Katanya, langkah tersebut boleh memburukkan lagi kekurangan tenaga perubatan yang sedia kritikal di rantau ini.

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan sepatutnya mengembalikan kerangka BIW lama yang mengira elaun berdasarkan peratusan gaji bagi doktor, jururawat dan ahli farmasi yang ditempatkan di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Walaupun di bawah sistem lama, kita berdepan kesukaran besar untuk menarik dan mengekalkan tenaga perubatan bagi memenuhi keperluan kesihatan yang mendesak di Malaysia Timur. Pemotongan elaun secara mengejut hanya akan memburukkan keadaan yang sudah sedia kritikal,” katanya.

Yii menegaskan bahawa pengurangan insentif tersebut berisiko menjejaskan kualiti rawatan pesakit, memandangkan Sabah dan Sarawak sememangnya berdepan kekurangan doktor dan pakar.

Beliau turut merujuk kepada statistik terkini yang menunjukkan 43 peratus pegawai perubatan tidak melapor diri bagi penempatan tetap di Sarawak pada tahun ini, yang menurutnya menjadi isyarat jelas tentang tahap kritikal situasi semasa.

Menurut beliau, Sarawak kini mempunyai nisbah doktor kepada penduduk iaitu seorang doktor bagi setiap 510 orang, bersamaan sekitar 1.96 doktor bagi setiap seribu penduduk. Angka ini jauh lebih rendah berbanding purata nasional iaitu kira kira seorang doktor bagi setiap 406 orang, atau 2.46 doktor bagi setiap seribu penduduk.

“Ini bermakna Sarawak mempunyai kira kira 21 peratus kurang doktor per kapita berbanding purata nasional. Untuk menyamai purata negara, Sarawak memerlukan ratusan lagi doktor, terutamanya pakar,” katanya.

Yii menambah bahawa dasar seperti pemotongan elaun BIW bukan sahaja tidak membantu menyelesaikan kekurangan tenaga perubatan, malah berisiko mendorong keadaan perkhidmatan kesihatan di Sabah dan Sarawak ke tahap kecemasan kritikal.

Oleh Connie Chieng

Tags: SEMASA

Continue Reading

Previous: ASSB lengkapkan jelajah libat urus KMKK di seluruh Sarawak
Next: Sarawak catat tangkapan dadah tertinggi dalam tempoh sedekad

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.