KUCHING: Bila menyebut tentang makanan tradisional, rata-rata setiap masyarakat di negeri ini mempunyai makanan tradisi masing-masing yang menjadi kebanggaan dan sebagai hidangan istimewa bagi sesebuah masyarakat itu sendiri.
Istilah tradisional itu sendiri membawa maksud masyarakat yang mengamalkan cara hidup turun-temurun dan dari situ kita memahami bahawa makanan tradisional adalah makanan yang diwarisi oleh nenek moyang secara turun-temurun.
Kebiasaanya kelupis dihidangkan pada musim perayaan, majlis keramaian seperti perkahwinan, kenduri dan sebagainya.
Keenakan dan keunikan makanan tradisi yang ada di Sarawak ini masih lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya tanpa mengira peringkat umur.
Oleh itu, kemahiran membuat makanan tradisi itu perlu diperkenalkan dan diwarisi kepada generasi muda agar ia tidak tenggelam ditelan arus kemodenan zaman.
Untuk ruangan Khabar dari Desa kali ini, penulis akan berkongsi mengenai salah satu makanan tradisi turun-temurun yang terdapat di negeri ini yang sememangnya gemar dimakan oleh masyarakat yang berbilang kaum sejak dahulu lagi.
Tahukah anda kelupis merupakan sejenis kuih tradisional atau makanan tradisi yang cukup dikenali di Sarawak, Sabah dan Brunei.
Pembuatan kelupis cukup mudah di mana bahan utamanya ialah beras pulut dan santan yang dibungkus menggunakan daun nyirik atau irik.
Daun nyirik pula merupakan daun khas yang digunakan untuk membungkus kelupis dan kebiasaanya daun ini akan membuatkan kelupis lebih tahan lama, tidak basi jika dibandingkan menggunakan daun pisang yang nipis dan mudah koyak.
Bagi yang ingin mempelajari membuat kelupis cara pembuatannya mudah sahaja iaitu masukkan santan dan daun pandan ke dalam kuali dan biar sampai mendidih dan pecah santan, apabila minyak timbul di permukaan santan, bolehlah masukkan beras pulut dan garam.
Selepas itu gaul sehingga separuh masuk dan santan kering, kemudian angkat dari kuali dan bungkus menggunakan daun nyirik. Selepas membungkus bolehlah kelupis dikukus sehingga masak.
Kelupis ini boleh didapati dalam pelbagai jenis seperti kelupis kosong, kelupis berinti daging, udang, kelapa parut pedas dan sebagainya.
Bagi penggemar makanan tradisi ini, jika kelupis kosong ia lebih sedap dimakan bersama dengan rendang atau kari dan ada juga yang gemar makan kelupis ini cicah dengan kuah satay. Penulis percaya masing-masing mempunyai citarasa yang tersendiri ketika menjamu hidangan kelupis ini.
Walaupun cara pembuatan kelupis kelihatan agak ringkas dan mudah namun ia memerlukan kesabaran dan serta inisiatif sendiri untuk bertanya dengan mereka yang mahir dalam pembuatannya.
Jika hendak menghasilkan rasa dan tekstur yang lebih enak rujuklah dengan yang mahir membuat kelupis.
Antara kuih tradisi yang ada di Sarawak ialah Kuih takir, celorot, kuih cincin, tabaloi, kuih cap, roti kompia dan sebagainya.