Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • ‘Kelupis’ juadah tradisi unik masyarakat utara Sarawak
  • TEMPATAN

‘Kelupis’ juadah tradisi unik masyarakat utara Sarawak

Utusan Sarawak 7 hours ago
JUADAH TRADISIONAL… Kelupis kekal sebagai juadah tradisional masyarakat di utara Sarawak iaitu Limbang, Lawas dan Miri.

KUCHING: Menjelang sambutan Hari Raya yang bakal tiba, kelupis kekal menjadi antara juadah tradisional yang tidak dilupakan oleh masyarakat di utara Sarawak iaitu Limbang, Lawas dan Miri.

Kuih tradisional ini sering dihidangkan ketika majlis keramaian, perayaan dan acara keluarga, terutamanya semasa Pesta Makan Tahun Kedayan.

Utusan Sarawak menemui Syarifah Jefrydin yang sedang membuat persiapan menyediakan kelupis untuk dihidangkan kepada keluarga sempena sambutan Hari Raya.

Beliau yang berbangsa Bidayuh mempelajari cara membuat kelupis daripada ibu mentuanya yang berbangsa Kedayan di Limbang ketika menetap di daerah itu selama 24 tahun sebelum berpindah semula ke Kuching.

JUADAH TRADISIONAL… Kelupis kekal sebagai juadah tradisional masyarakat di utara Sarawak iaitu Limbang, Lawas dan Miri.

“Setiap tahun menjelang Hari Raya, saya akan menyediakan kelupis untuk keluarga. Saya mula belajar membuat kelupis daripada ibu mentua di Limbang dan sehingga kini tradisi ini tetap saya teruskan,” katanya.

Kelupis diperbuat daripada beras pulut yang dimasak bersama santan sehingga menghasilkan tekstur yang lembut dan berlemak. Campuran pulut dan santan ini kemudian dibungkus dengan kemas menggunakan ‘daun nyirik’ sebelum dikukus kira-kira 30 minit sehingga masak.

DAUN NYIRIK… Keunikan kelupis terletak pada penggunaan ‘daun nyirik’ sebagai pembungkusnya.

Keunikan kelupis terletak pada penggunaan ‘daun nyirik’ sebagai pembungkusnya. Daun ini mudah ditemui di bahagian utara Sarawak dan memberikan aroma semula jadi yang tersendiri.

KELUPIS mempunyai dua versi utama iaitu kelupis kosong dan kelupis berinti.

Kelupis mempunyai dua versi utama iaitu kelupis kosong dan kelupis berinti. Kelupis kosong hanya menggunakan pulut dan santan, manakala kelupis berinti diisi dengan inti udang kering yang telah dimasak serta ditambah perasa. Inti ini menambahkan kelazatan serta memberikan variasi kepada kuih tradisional ini.

“Kelupis kosong sesuai dimakan bersama lauk berasaskan daging atau kuah kacang, manakala kelupis berinti pula lebih sedap dimakan begitu sahaja. Kedua-duanya tetap menjadi pilihan ramai,” ujarnya.

Dalam masyarakat tempatan, kelupis sering dihidangkan bersama lauk berasaskan daging. Walaupun kelihatan ringkas, rasanya yang lemak menjadikan kelupis antara makanan tradisional yang digemari ramai.

Kelupis melambangkan warisan kulinari masyarakat utara Sarawak yang masih kekal sehingga kini. Penyediaannya menggunakan bahan-bahan tempatan serta kaedah tradisional, menjadikan kuih ini sebahagian daripada identiti makanan masyarakat setempat.

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: 25,000 pengunjung meriahkan Lan Berambeh Sungkei di Sibu
Next: KPWKM teliti kes tiga remaja dikaitkan keganasan di media sosial

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.