KUCHING: Sumbangan industri kelulut kini dianggarkan melebihi RM60 juta dan dijangka meningkat setiap tahun.
Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, industri penternakan kelulut amat berpotensi untuk menjadi sumber pendapatan dan meningkatkan taraf sosio-ekonomi para pengusaha.
” Secara purata, satu koloni kelulut boleh dituai sebanyak lapan kali setahun dengan hasil 0.5 kilogram sekali tuaian pada harga RM120 hingga RM150 per kilogram.
“Di Sarawak, kebanyakan pengusaha yang terlibat dalam pemeliharan dan pengeluaran lebah dan kelulut adalah dari kawasan Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah dan Miri dengan anggaran jumlah yang mencecah sehingga 30,000 koloni,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Roland Sagah Wee Inn pada Majlis Pelancaran Skim Pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia Pemeliharaan Lebah (Tribus apini) dan Kelulut (Tribus meliponini) (myGAP.AM) di sebuah hotel terkemuka, semalam.
Tambahnya, di Sarawak dianggarkan sebanyak 90 tan metrik dihasilkan setahun dengan nilai jualan mencecah RM13 juta.
“Selain daripada madu, antara produk sampingan yang dihasilkan adalah sabun madu kelulut dan pencuci muka.
“Oleh itu, industri pemeliharaan lebah dan kelulut berpotensi untuk diperluaskan memandangkan Sarawak mempunyai kelebihan dari segi kepelbagaian sumber alam semula jadi yang masih dipelihara,” ujarnya.
Industri pemeliharaan lebah kelulut atau dikenali sebagai meliponikultur merupakan satu cabang pertanian baharu yang mula diperkenalkan di Malaysia pada 2004.
Antara produk hiliran yang dihasilkan melalui industri ini adalah madu kelulut dan propolis.
Berdasarkan kajian saintifik, hasil produk ini mempunyai potensi yang tinggi kerana sumbangannya dalam bidang kesihatan dan kecantikan dan ini menyebabkan permintaan terhadap madu kelulut semakin meningkat.
Oleh Nur Ain Otsman