Perlembagaan ialah undang-undang dasar pemerintahan negara. Dengan kata lain, Perlembagaan menentukan cara atau sistem pemerintahan sesebuah negara. Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mengamalkan konsep konstitusionalisme, iaitu sistem atau prinsip pemerintahan berdasarkan perlembagaan.
Perlembagaan yang digubal, apabila negara memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British, bertujuan untuk memastikan tadbir urus sebuah negara yang penduduknya terdiri daripada pelbagai latar kaum, budaya, amalan, dan adat resam mampu terlaksana dengan lancar dan harmoni. Lantaran itu, unsur-unsur tertentu yang dilihat sebagai komponen penting untuk memastikan kesefahaman, kesepaduan, kesepakatan, dan keharmonian, diberikan penekanan dan perhatian khusus.
Namun, dalam mendukung keluhuran Perlembagaan, tidak seharusnya wujud sikap dwistandard, apatah lagi dalam kalangan pemerintah, pentadbir, pendukung, dan pelaksana. Apa-apa jua perkara yang dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan harus dipertahankan tanpa ada sifat prejudis, terutama sekali dalam hal mempertahankan keluhuran empat unsur tradisi yang merupakan roh kontrak sosial yang menjadi faktor utama untuk menjamin kestabilan, keutuhan, permaufakatan, kesepaduan dan keharmonian senantiasa terpelihara.
Akan tetapi, sejak akhir-akhir ini terkesan sikap dwistandard dan ketidakselarasan sesetengah pihak mempertahankan keluhuran Perlembagaan. Kobar semangat begitu tinggi dan laungan patriotik untuk mendukung hal yang dimaktubkan dalam Perlembagaan lantang gemanya. Hujah diletakkan atas landasan menjaga kepentingan kaum yang majmuk sifatnya. Pantang sahaja perkara yang ada hubung kait dengan kepentingan golongan ini dijentik. Jika terjentik, pantas akan dipertahankan ‘bermatia-matian dengan membuat rujukan khusus kepada peruntukan yang tertera dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah disepakati secara konsensus akan kandungannya. Arena pertikaian akan terbuka luas dengan pelbagai aksi dan reaksi daripada golongan-golongan yang bertelagah. Hal yang sedemikian, ada ketikanya, berlanjutan sehingga ke muka pengadilan untuk menegakkan ‘kebenaran’ berlandaskan secara terperinci kepada Perkara-perkara atau Fasal-fasal khusus dalam Perlembagaan berkenaan.
Tidak kurang juga wujud golongan tertentu yang secara terbuka mempertikaikan beberapa perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang dilihat sebagai tidak lagi relevan dalam konteks norma kehidupan hari ini. Lantaran, kedengaran agar dilakukan pindaan selaras dengan keperluan semasa, di samping menjaga kepentingan kumpulan atau golongan tertentu daripada teraniaya serta tertindas. Terlalu banyak isu sedemikian sifatnya, namun, untuk disenaraikan secara khusus, akan menimbulkan polemik di samping menyentuh sensitiviti golongan-golongan tertentu.
Ironinya, gema yang talun-menalun mempertahankan keluhuran warisan leluhur tidak sekalipun kedengaran apabila nasib bahasa Melayu diperkotakkatikkan secara terang-terangan. Pada hal, bahasa Melayu merupakan tonggak utama bagi memastikan tercapainya persefahaman antara kaum yang majmuk sifatnya ke arah menzahirkan impian untuk melahirkan suasana harmoni yang mampu menganjak kedudukan negara, waima dalam apa-apa jua ranah kehidupan sekalipun. Malah, bahasa tidak lagi dilihat sebagai busana bangsa yang menonjolkan keperibadian, kewibawaan, keagungan serta kedaulatan sesebuah bangsa. Bahasa hanya dilihat sebagai wahana komunikasi semata-mata dan tidak lebih daripada itu. Lantaran itu, usaha ke arah mempertahankan kedaulatan bahasa tidak akan mendapat tempat dalam agenda urus tadbir negara secara keseluruhannya.
Demikianlah ceritera pilu pemartabatan bahasa sebuah bangsa merdeka yang terlakar dalam undang-undang dasar negara, sebuah warisan leluhur!
Cintailah Bahasa.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!