
JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) memaklumkan bahawa keluasan sedia ada penanaman dan pengeluaran nanas di Sarawak ialah 2,450 hektar setakat ini.
Pengerusi LPNM Sheikh Umar Bagharib Ali berkata bagi merealisasikan sasaran kerajaan Sarawak untuk memperluas kawasan tanaman nanas kepada 20,000 hektar menjelang 2030, kerjasama menyeluruh daripada pelbagai pihak perlu diperkasakan.
“LPNM akan sentiasa menyokong dan mengeluarkan apa jua usaha yang kami mampu untuk membantu merealisasikan sasaran ini. Kita perlu ada satu unjuran peratusan dalam tempoh setahun yang perlu dicapai untuk pengembangan penanaman nanas.
“Berdasarkan pengiraan, kita perlukan sekurang-kurang 17 hingga 20 peratus kesan pelbagai (multiply effect) (peningkatan) penanaman nanas di negeri Sarawak setiap tahun, untuk memastikan kita boleh capai sasaran yang digariskan dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Kenyalang Pineapple Sarawak antara JG Sarava Sdn Bhd dan Mate Clove Sdn Bhd di Ibu Pejabat LPNM di sini, hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian itu menyaksikan kerjasama antara Pengarah Urusan JG Sarava Sdn Bhd Datuk Jeyarajan Sri Ramalu dan Pengarah Urusan Mate Clove Sdn Bhd Khairul Anuar Mohd Shah.
Sheikh Umar berkata LPNM menyambut baik inisiatif strategik tersebut yang bukan sahaja bertujuan memperluas tanaman nanas secara berskala besar di Sarawak malah menggalakkan penglibatan aktif pemain industri dalam sektor berkenaan.
Menurut Jeyarajan kerjasama yang dimeterai hari ini melibatkan pelaburan permulaan sehingga RM150 juta, bertujuan meneroka peluang dalam membangunkan industri nanas berpotensi tinggi di negeri itu.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu kini melibatkan pembangunan ladang nanas dengan sasaran seluas 1,000 hektar yang merangkumi kawasan Bintangor, Pulau Bunut dan Kampung Lebaan.
“Kita turut mengenal pasti beberapa kawasan lain seperti Dalat, Oya dan Debak yang sedang menjalani proses pembersihan bagi tujuan penanaman. Mate Clove juga sudah memulakan tugas untuk kawasan-kawasan penanaman ini,” katanya.
Beliau berkata projek tersebut turut memberi tumpuan kepada pembangunan tapak semaian (nurseri) bagi mengatasi kekurangan bekalan sulur nanas yang diperlukan untuk penanaman berskala besar dan disasarkan berkembang sehingga mencapai 12,000 hektar dalam jangka panjang.
Pada Disember 2023 kerajaan Sarawak dilaporkan menyasarkan untuk meningkatkan keluasan kawasan tanaman nanas di seluruh negeri itu sehingga 20,000 hektar menjelang 2030.– BERNAMA