Keluasan Selangau wajar jadi asas pertimbang tiga DUN

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI Khas Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang juga Ketua Penerangan PRS Bahagian Kakus, Eugene John Sikie

BINTULU: Keluasan kawasan Parlimen Selangau yang mencecah 9,193 kilometer persegi wajar dijadikan antara asas pertimbangan dalam cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya, termasuk mewujudkan tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pegawai Khas Menteri di Jabatan Premier Sarawak yang Ketua Penerangan Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian Kakus, Eugene John Sikie berkata, keluasan kawasan berkenaan memerlukan struktur perwakilan yang lebih seimbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan dan pembangunan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Menurutnya, selain jumlah pengundi, faktor geografi, taburan penduduk, akses jalan raya dan jarak antara penempatan perlu turut diberi perhatian dalam menentukan persempadanan kawasan pilihan raya.

“Dengan kawasan seluas 9,193 kilometer persegi, Selangau mempunyai cabaran geografi dan pembangunan yang berbeza berbanding kawasan Parlimen yang lebih kecil.

“Justeru, kita melihat Selangau wajar dipertimbangkan mempunyai tiga DUN supaya kawasan pentadbiran dapat dipecahkan kepada saiz lebih munasabah dan perkhidmatan kepada rakyat menjadi lebih dekat,” katanya.

Eugene berkata, cadangan mewujudkan DUN baharu Bukit Arip juga relevan kerana kedudukannya di tengah-tengah Parlimen Selangau, dengan sebahagian kawasan berkenaan kini melibatkan DUN Tamin dan Kakus.

Katanya, DUN Kakus mempunyai keluasan kira-kira 5,701 kilometer persegi dan merentasi tiga bahagian pentadbiran iaitu Mukah, Sibu dan Bintulu.

“Cabaran bagi kawasan yang luas seperti ini tentunya berbeza dengan DUN yang mempunyai keluasan jauh lebih kecil.

“Jarak antara penempatan dan pusat pentadbiran juga menjadi cabaran, terutama bagi penduduk di kawasan pedalaman,” katanya.

Beliau berkata, jumlah pengundi Selangau setakat Januari 2026 ialah 49,265 pengundi, namun angka itu tidak seharusnya menjadi satu-satunya ukuran dalam menentukan persempadanan kawasan pilihan raya.

Menurutnya, pembahagian Selangau kepada tiga DUN berpotensi membolehkan wakil rakyat memberi tumpuan lebih khusus kepada kawasan masing-masing, selain memperkemas perancangan pembangunan dan penyampaian peruntukan seperti MRP dan RTP.

“Pendekatan ini juga boleh membantu merapatkan jurang pembangunan antara kawasan luar bandar dan bandar, khususnya di kawasan pedalaman yang mempunyai penempatan berselerak serta jarak perjalanan yang jauh,” katanya.

Oleh Carolyne Utih