
SIBU: Keluasan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan yang merangkumi kawasan bandar, perkampungan Cina di sepanjang Sungai Rejang serta 105 rumah panjang menjadikan usaha menjaga kebajikan rakyat lebih mencabar berbanding kawasan bandar lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bawang Assan, Dato Sri Wong Soon Koh berkata, kawasan yang diwakilinya merangkumi sebahagian kawasan bandar Sibu, kedua-dua tebing Sungai Rejang sehingga hampir ke muara serta kawasan Pasai Siong.
“Kawasan Bawang Assan sangat luas. Saya bukan sahaja menjaga kawasan bandar, tetapi juga perkampungan Cina di kedua-dua tebing Sungai Rejang dan 105 rumah panjang.
“Sebahagian besar peruntukan saya disalurkan ke kawasan rumah panjang kerana kawasan bandar sudah banyak diuruskan oleh Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan agensi kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian geran khas kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), lembaga pengurusan sekolah dan persatuan di pejabat Pusat Khidmat DUN Bawang Asaan, hari ini.
Majlis penyerahan geran yang berlangsung selama dua hari itu menyaksikan seramai 64 menerima peruntukan berkenaan.
Menurutnya, sebahagian besar peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) digunakan untuk membaik pulih kemudahan di rumah panjang, terutama kerja membaiki bumbung yang bocor serta keperluan asas lain.
Beliau turut memenuhi permohonan lebih 20 sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), gereja, tokong, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pelbagai persatuan dalam kawasan berkenaan.
“Saya cuba mengagihkan bantuan secara adil kepada semua pihak mengikut keperluan walaupun peruntukan yang ada amat terhad,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan proses penyaluran geran khas kini lebih ketat apabila semua permohonan perlu melalui Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Perbendaharaan Negeri sebelum diluluskan.
“Penerima geran juga kini diwajibkan diwakili tiga orang penandatangan semasa menerima cek, berbanding hanya seorang sebelum ini, bagi mematuhi prosedur baharu yang ditetapkan,” ujarnya lagi.
Mengulas mengenai peruntukan tahunan, Wong berkata, setiap ADUN menerima peruntukan di bawah Geran Khas MRP, Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) serta dana pembaikan rumah, namun jumlah keseluruhannya masih belum mencukupi bagi memenuhi keperluan kawasan yang luas seperti Bawang Assan.
“Setiap tahun, jumlah keseluruhan peruntukan sekitar RM8 juta. Bagi saya, ia masih tidak mencukupi kerana banyak keperluan rakyat yang perlu diberi perhatian, termasuk bantuan kepada rumah panjang dan pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” kata beliau.
Oleh Akun Giman





