
BINTANGOR: Pihak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong mengeluarkan sebanyak 15 keping saman atas pelbagai kesalahan semasa Op Samseng Jalanan, 15 Mac lalu.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Sekam Anoi, berkata lokasi operasi meliputi kawasan sekitar Jalan KJD, Gemuan dan pekan Bintangor.
“Operasi ini bertujuan mencegah kegiatan lumba haram serta pengubahsuaian motosikal yang melibatkan remaja.
“Dalam operasi ini, sebanyak 15 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan yang dikesan termasuklah ubah suai ekzos, tiada cermin pandang belakang, nombor pendaftaran fancy, tiada nombor pendaftaran, tiada lesen memandu dan ubah suai struktur kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.
Selain itu, katanya, empat motosikal telah disita di bawah Seksyen 60 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan lanjut.
“PDRM IPD Meradong menasihatkan semua penunggang motosikal agar mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Pemilik motosikal juga diingatkan supaya tidak mengubah suai struktur kenderaan serta ekzos sehingga menghasilkan bunyi bising yang boleh mengganggu ketenteraman awam.
“Ibu bapa juga dinasihatkan agar memantau anak-anak di bawah jagaan mereka supaya tidak terlibat dalam aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” tegasnya.
Oleh Earl Anek