Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • WILAYAH
  • Keluarga mendiang Joey mahu siasatan telus dan menyeluruh
  • Tengah
  • WILAYAH

Keluarga mendiang Joey mahu siasatan telus dan menyeluruh

Utusan Sarawak 3 hours ago
DR ANNUAR...Ketika memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Joey di Rumah Mayat Lima, hari ini.

SIBU: Keluarga mangsa lemas, mendiang Joey Ling, 21, seorang pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis, berharap siasatan berhubung insiden tersebut dijalankan secara telus dan hasilnya dimaklumkan secara menyeluruh kepada mereka.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapa’ee berkata, perkara itu merupakan antara permintaan utama keluarga yang masih berdepan kesedihan mendalam susulan tragedi berkenaan.

“Keluarga mangsa berharap siasatan dibuat secara menyeluruh dan keputusannya dimaklumkan kepada mereka secara telus. Itu yang paling penting bagi mereka ketika ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Rumah Mayat Lima, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, kejadian tersebut amat memberi kesan kepada keluarga memandangkan mangsa masih muda dan mempunyai potensi besar.

“Ini satu tragedi yang sangat menyedihkan. Mangsa masih muda dan cemerlang dalam pembelajaran, sudah tentu keluarga sukar menerima apa yang berlaku,” ujarnya.

DR ANNUAR…Memberikan kata-kata semangat kepada bapa mendiang, Ling Yii Yong ketika memberi penghormatan terakhir di Rumah Mayat Lima, hari ini.

Beliau memaklumkan akan menghubungi pihak berkaitan termasuk Kementerian Pendidikan bagi menyampaikan hasrat keluarga serta mendapatkan perkembangan terkini siasatan.

Selain itu, beliau turut berusaha memastikan sokongan moral diberikan kepada keluarga, termasuk menggalakkan kehadiran orang ramai untuk memberi penghormatan terakhir kepada mangsa.

“Permintaan keluarga juga agar lebih ramai hadir esok untuk memberi penghormatan terakhir, khususnya dalam kalangan pelajar dan institusi berkaitan sebagai tanda sokongan emosi,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berhubung dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) serta sekolah lama mangsa (SMK Tung Hua), bagi tujuan tersebut.

Mengulas mengenai bantuan, beliau berkata, kerajaan Sarawak akan menyalurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga dalam tempoh sukar ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr Annuar menegaskan kepentingan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam setiap aktiviti bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita mungkin sudah ada garis panduan, tetapi yang penting ialah pematuhan yang ketat. Itu yang perlu diberi perhatian serius,” tegasnya.

MEMBERI PENGHORMATAN…Penghulu Ting Tien Huat bagi mewakili Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Joey.

Beliau berharap insiden tersebut menjadi pengajaran kepada semua pihak agar aspek keselamatan sentiasa diutamakan.

Jasad mendiang Joey akan dikebumikan esok. Mendiang Joey merupakan bekas pelajar SMK Tung Hua Sibu, salah seorang daripada dua pelajar Sarawak dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis yang terkorban dalam insiden semasa aktiviti berkayak di Pantai Merdeka, berhampiran Sungai Petani, Kedah, Sabtu lalu.

Seorang lagi mangsa, Christopher Ling, 21, bekas pelajar SMK Sungai Tapang, Kuching, turut terkorban, meninggalkan keluarga serta masyarakat Sarawak dalam kesedihan mendalam.

Oleh Akun Giman

Tags: wilayah

Continue Reading

Previous: Ziarah Prihatin, ADUN Kabong santuni penduduk Kampung Nyabor dan Kabong
Next: Bapa terkejut anak lemas, tiada tanda awal dikesan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.