
BINTULU: Keluarga dan komuniti setempat disaran memainkan peranan lebih proaktif dalam menangani isu penyalahgunaan dadah khususnya dalam kalangan belia serta pekerja sektor awam dan swasta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata berdasarkan pengalamannya sebagai bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), majoriti penagih yang dirawat datang daripada latar belakang keluarga yang tidak stabil.
Menurut beliau, kelemahan institusi kekeluargaan seperti perceraian, pengabaian atau hubungan dingin antara ibu bapa dan anak sering menjadi pencetus kepada penglibatan seseorang dalam gejala dadah.
“Faktor keluarga memainkan peranan penting dalam membentuk sahsiah anak-anak. Mereka yang kurang mendapat perhatian atau kasih sayang cenderung mencari pengaruh luar termasuk terjebak dalam penagihan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan pelancaran Rakan AADK Bintulu sempena sambutan Hari Etika Bintulu Port 2025 di sini, hari ini.

Beliau mencadangkan agar pelaksanaan program seperti Rakan AADK diperluaskan dengan pendekatan yang turut melibatkan ibu bapa dan anak-anak dalam aktiviti membina komunikasi serta kekuatan dalaman keluarga.
“Kita boleh anjurkan program yang menggalakkan interaksi sihat dalam keluarga.
“Bukan hanya ceramah tetapi aktiviti yang memperkukuh hubungan ibu bapa dan anak. Ini secara tidak langsung mencegah gejala sosial,” tambahnya.
Dalam pada itu, Beliau menggesa pemimpin akar umbi seperti ketua masyarakat dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) agar lebih aktif menjalankan pemantauan serta menganjurkan program kesedaran secara konsisten.
“Masyarakat setempat perlu menjadi mata dan telinga dalam membantu agensi penguatkuasa dan pihak berwajib memerangi masalah ini. Tanggungjawab ini adalah milik bersama,” tegasnya.
Oleh Carolyne Utih