KUCHING: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, berkata statistik menunjukkan tren setinggan di seluruh negeri ini menurun daripada 9,760 pada 2010 kepada 4,285 tahun 2020.
“Ini berdasarkan langkah penyelesaian in-situ oleh Jabatan Tanah dan Survei sebanyak 2,307 buah rumah, Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung (lot) sebanyak 655 buah rumah, Skim PPR oleh HDC sebanyak 725 buah rumah dan lain-lain jenis perpindahan semula sebanyak 1,788 buah rumah oleh pihak swasta dan yang berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Menangani Isu Kemiskinan Bandar (MIKB) di Sarawak di Bangunan Baitulmakmur, di sini semalam.
Tambahnya, anggaran penduduk di seluruh Sarawak tahun ini (2020) adalah 2,907,500 orang dan tahap urbanisasi kini sudah mencecah 59.2 peratus pada tahun 2019.
“Bagi menangani kemiskinan bandar, kementerian saya (KWKPK) dengan kerjasama agensi lain akan berusaha untuk menjalankan kajian selanjutnya bagi memahami isu ini secara lebih menyeluruh dan mengatasinya dengan cara yang sesuai.
“Kami juga akan membentuk program ‘upskilling’ dan intervensi akan dilaksanakan ke atas kumpulan yang rentan dan mudah terjebak berdasarkan analisis terhadap statistik,” ujarnya.
Jelasnya, fasa pertama ini akan melibatkan penumpuan kepada empat bandar utama iaitu Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu.
KWKPK juga ingin mencadangkan pembentukan Jawatankuasa Khas untuk menangani isu kemiskinan bandar di peringkat negeri, daerah, bahagian dan kampung.
“Seperti kita ketahui, peringkat kampung adalah paling tepat kerana ia melibatkan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum yang boleh mendapatkan maklumat yang paling tepat dari peringkat akar umbi.
“Di samping itu, KWKPK akan merekbentuk sebuah direktori intervensi sosial yang akan menjadi sebahagian sistem data yang akan turut membantu dalam usaha menangani isu kemiskinan bandar di Sarawak,” katanya.
Oleh Nur Ain Otsman