KUCHING: Kecil, unik, dan menarik perhatian – itulah gambaran tepat bagi Perodua Kelisa berwarna merah jambu milik Awang Mohd Azizul, 42, yang mencuri tumpuan di Fast Culture Festival.
Lebih menarik, kereta ini bukan sekadar modifikasi biasa. Ia diinspirasikan oleh keindahan bunga sakura dan konsep katalog, hasil sentuhan kreatif pemiliknya sejak Jun 2024.
“Saya mula dengan warna kelabu, tapi selepas itu saya tukar kepada merah jambu untuk lebih menyerlah.
“Setahun buat, dua kali tukar warna,” katanya ketika ditemu bual oleh media semasa Fast Culture Festival 2025 di Sarawak Plaza, hari ini.
Dengan pelaburan yang signifikan, setiap bahagian kenderaan ini dipasang dengan komponen baharu, menjadikannya satu karya seni bergerak.
“Kelisa dipilih sebab saiznya kecil dan comel, sesuai dengan konsep bunga sakura yang saya mahukan.
“Selain itu, saya juga terpengaruh dengan kawan-kawan yang aktif dalam dunia modifikasi,” tambahnya.
Bagi Awang, Fast Culture Festival adalah platform terbaik untuk memperkenalkan konsep modifikasi kepada masyarakat, termasuk mereka yang baru ingin mengenali dunia automotif.
“Acara seperti ini sangat bagus kerana ia membuka peluang untuk orang ramai memahami pelbagai konsep kereta dengan lebih mendalam. Modifikasi bukan sekadar estetika, tetapi juga satu bentuk ekspresi diri,” ujarnya.
Dengan keunikan tersendiri dan kreativiti tanpa batas, Kelisa Sakura ini bukan sekadar sebuah kereta, tetapi sebuah karya seni yang hidup di atas jalan raya.
Oleh Amanda L.