Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KOLUMNIS
  • Kelebihan terbang waktu malam
  • KOLUMNIS

Kelebihan terbang waktu malam

Utusan Sarawak 23 hours ago

BAGI sesetengah penumpang, penerbangan waktu malam menawarkan pengalaman yang lebih mudah dan menyenangkan.

Suasana yang tenang dan damai di terminal menjadikannya pilihan ideal berbanding hiruk-pikuk operasi pada siang hari.

Kesesakan yang lazim di ruang daftar masuk, laluan keselamatan dan pintu pelepasan telah reda, digantikan dengan ketenteraman yang membolehkan pergerakan lebih lancar.

Penumpang hadir dengan pelbagai emosi, ada yang bersemangat membayangkan aktiviti menarik menanti keesokan hari, manakala ada yang lain sudah keletihan dan hanya ingin berehat secepat mungkin.

Suhu persekitaran yang lebih rendah pada waktu malam meningkatkan ketumpatan udara. Bagi enjin pesawat, udara yang lebih tumpat ini membekalkan lebih banyak oksigen untuk pembakaran, seterusnya meningkatkan kecekapan daya tujah.

Keadaan ini dapat mengurangkan haus pada komponen enjin, secara tidak langsung memanjangkan jangka hayat pesawat dan mengurangkan jejak karbon penerbangan tersebut.

Hal ini juga membolehkan pesawat mencapai kelajuan berlepas dengan jarak landasan yang lebih pendek atau membawa muatan lebih berat.

SUHU persekitaran yang lebih rendah pada waktu malam meningkatkan ketumpatan udara.

Bagi kru penerbangan, suasana lapangan terbang yang tenang membolehkan mereka membuat persiapan operasi dan taklimat penerbangan dengan lebih fokus.

Ketika pesawat mula berlepas dari landasan, penumpang yang duduk di tepi tingkap disajikan dengan pemandangan lampu-lampu bandar yang semakin mengecil bagaikan hamparan permata.

Bagi sesetengah pengembara yang meninggalkan insan tersayang, suasana ini mungkin menggamit kerinduan, malah ia juga boleh menjadi saat refleksi diri yang tenang sebelum memulakan fasa perjalanan jauh.

Ketiadaan pemanasan suria menghapuskan punca utama gelora udara haba yang terhasil daripada perolakan udara panas dari permukaan bumi.

Udara yang lebih stabil ini menjadikan fasa berlepas dan jelajah lebih lancar dan boleh diramal.

Dengan persekitaran yang stabil, juruterbang dapat memilih laluan penerbangan yang lebih efisien, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan bakar dan memendekkan tempoh penerbangan secara keseluruhan.

Semasa pesawat mencapai altitud jelajah, suasana tenang menyelubungi kabin dengan cahaya malap dan senyap, ditambah dengan bunyi malar enjin yang mengasyikkan, mewujudkan persekitaran kondusif untuk rehat berkualiti.

Hal ini menjadi kelebihan besar dalam penerbangan jarak jauh merentasi zon waktu. Ketenangan ini membuatkan penumpang dapat tidur nyenyak selama beberapa jam untuk mengurangkan kesan lesu jet.

Malah untuk mendapatkan lebih keselesaan daripada terkesan dengan gegaran pesawat, penumpang boleh menempah tempat duduk yang berhampiran dengan sayap.

Namun bagi kru penerbangan, fasa ini memerlukan kewaspadaan berterusan terhadap fenomena fisiologi ritma sirkadian yang menyebabkan pengeluaran hormon melatonin meningkat dan mengakibatkan rasa mengantuk.

Untuk mengatasi cabaran ini, kebanyakan syarikat penerbangan melaksanakan program latihan khas untuk kru penerbangan termasuklah teknik penyesuaian tidur, pemakanan optimum dan senaman ringan terutama semasa penerbangan panjang.

Walaupun gelora udara haba berkurangan, pesawat masih boleh menghadapi gelora udara cerah (CAT), terutamanya berhampiran arus jet atau kawasan pergunungan.

Kejadian ini sukar dikesan oleh radar cuaca konvensional dan boleh berlaku tanpa amaran visual.

Kru penerbangan perlu sentiasa berwaspada untuk sebarang kecemasan dalam pencahayaan yang minimal, sambil memastikan penumpang yang tidur tidak terganggu.

Apabila pesawat mula membuat pendekatan untuk mendarat pada waktu malam, fasa ini sangat kritikal kerana memerlukan ketepatan yang tinggi apabila juruterbang bergantung sepenuhnya pada instrumen penerbangan.

Selain itu, ada di lapangan terbang tertentu, juruterbang akan turut dibantu oleh sistem pendaratan instrumen (ILS) yang memberikan ketepatan lebih tinggi walaupun dalam keadaan penglihatan rendah.

Faktor ilusi visual seperti ilusi kecerunan yang memaparkan landasan kelihatan lebih curam daripada sebenarnya atau ilusi autokinesis dengan cahaya pegun kelihatan bergerak, boleh mengganggu persepsi juruterbang.

Contohnya, di kawasan lautan terbuka atau padang pasir, kekurangan rujukan cahaya di darat boleh meningkatkan risiko ilusi ‘black hole approach’ yang membuatkan juruterbang secara tidak sedar boleh menerbangkan pesawat pada trajektori yang terlalu rendah.

Lampu pendaratan pesawat sendiri direka bentuk secara optik khas untuk menerangi kawasan tertentu di hadapan pesawat tanpa menyebabkan silau.

Malah, reka bentuk terkini lampu pendaratan yang menggunakan teknologi LED bukan sahaja lebih tahan lama tetapi juga menawarkan pencahayaan lebih baik dengan penggunaan tenaga lebih rendah serta mesra alam.

PENERBANGAN waktu malam, suasana tenang menyelubungi kabin dengan cahaya malap dan senyap.

Proses pendaratan pada waktu malam lazimnya memberikan pengalaman yang lebih selesa kepada penumpang.

Hal ini kerana pengaruh udara yang sejuk dan stabil serta angin permukaan yang biasanya lebih lemah dapat membantu juruterbang mendaratkan pesawat dengan lebih mudah dan ‘lembut’.

Rehat yang dinikmati sepanjang penerbangan kini berakhir apabila mereka bersiap untuk keluar dan meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya.

Namun, malam tidak selalunya tenang. Adakalanya cuaca hujan dan berangin kencang.

Bergantung kepada penilaian risiko yang teliti, penerbangan akan diteruskan sekiranya keadaan cuaca tersebut tidak melebihi had keupayaan juruterbang atau batasan mekanikal pesawat.

Jika sebaliknya, penumpang mungkin terpaksa menunggu sehingga keadaan reda atau penerbangan dibatalkan sepenuhnya demi keselamatan.

Di terminal ketibaan yang lengang, perkhidmatan sokongan seperti pengendalian bagasi dan pengangkutan awam sering beroperasi dengan kapasiti terhad.

Penumpang yang tidak merancang pengangkutan awal mungkin berdepan dengan kos pengangkutan lebih tinggi atau masa menunggu yang panjang.

Tidak semua lapangan terbang beroperasi dengan perkhidmatan penuh 24 jam, malah sesetengahnya mengenakan perintah berkurung bunyi pada lewat malam.

Oleh itu, jika penerbangan terlewat, risiko terlepas slot pendaratan atau pembatalan menjadi lebih tinggi.

Bagi syarikat penerbangan, penerbangan pada waktu malam ini memberikan keuntungan apabila dapat mengoptimumkan penggunaan pesawat di luar waktu puncak dengan menawarkan harga tiket lebih kompetitif.

Jadi, pilihan ini sesuai bagi mereka yang mudah tidur di pesawat, mengutamakan ketenangan dan perlu tiba awal di destinasi.

Sebaliknya, bagi mereka yang sensitif terhadap gangguan ritma sirkadian atau bergantung pada pengangkutan awam, penerbangan siang mungkin lebih sesuai.

Selain itu, penerbangan malam juga membolehkan penggunaan ruang udara yang lebih efisien, mengurangkan kesesakan di laluan udara utama dan akhirnya mengurangkan pembaziran bahan bakar akibat menunggu untuk mendarat atau berlepas.

Dalam mana-mana pilihan, siang atau malam, apa yang lebih diharapkan penumpang adalah dapat tiba di destinasi dengan selamatnya.

  • Penulis memiliki Sarjana Muda Kejuruteraan (Mekanikal-Aeronautik) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan pernah berkhidmat di Hornbill Skyways Sdn Bhd.
Tags: Mohamad Fadillah Sabali

Continue Reading

Previous: Ketua Masyarakat perlu dinaik taraf, gaji minimum

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.