PENULIS tertarik apabila terbaca mengenai kreativiti arkitek kelahiran Malaysia, Ewe Jin Low, yang dikenali kerana membina lebih 30 reka bentuk bangunan dengan menggunakan bahan buluh. Sudah lebih 30 tahun, Ewe terbabit dalam projek di England, Asia Tenggara dan Australia sebelum ke Bali sebagai arkitek utama untuk firma perundingan Ibuku.
Penggunaan buluh untuk kediaman seperti yang dilakukan oleh Ewe bukanlah sesuatu yang aneh. Buluh adalah tumbuhan yang senang tumbuh, boleh membesar setinggi satu meter dan menuainya tidak dapat dianggap sebagai satu ‘deforestation’ (penebangan hutan).
Keunikan buluh tidak boleh dinafikan hinggakan pujangga Melayu menjadikannya perumpamaan atau peribahasa lama dalam karya mereka.
Antaranya ‘kalau hendak meluntur buluh, biarlah dari rebungnya’.
Di Perak, ada sebuah syarikat menghasilkan rumah kecil, gazebo, anjung, pondok dan perabot serta kraftangan lain berasaskan buluh. Hasil kreativiti syarikat ini paling bernilai ialah sebuah rumah buluh pasang siap yang dijual pada harga RM60,000 ketika menyertai Pameran Floria 2015 di Putrajaya.
Rumah buluh setinggi dua tingkat itu dilengkapi ruang tamu, satu bilik tidur di tingkat atas, bersambung dengan beranda serta beberapa perabot termasuk katil, penyangkut baju, meja ruang tamu dan rangka kusyen.
Syarikat Bumiputera ini percaya buluh yang sudah diawet dan disapu varnis, menyebabkan jangka hayat rumah berkenaan mampu bertahan sehingga 30 tahun. Ia memiliki keistimewaan boleh dilentur, ringan, tidak diserang serangga perosak, boleh diganti, dan mempunyai ketahanan untuk bertahan dari landaan angin sehingga 173 mph.
Buluh harga murah banding balak
Buluh juga lebih mudah direka bentuk, malah harganya amat murah dan bekalannya senang diperoleh berbanding kayu balak. Bagi pembuatan perabot atau lantai, buluh yang hendak ditebang berusia antara tiga hingga empat tahun, manakala bagi binaan struktur rumah buluh, pokok berusia enam tahun paling sesuai, kata pengusaha syarikat itu.
Jurucakap syarikat itu dilaporkan sebagai berkata bahawa bagi mengelakkan buluh dimakan serangga perosak atau ‘bubuk’, proses pengawetan dengan merendamnya ke dalam air yang bercampur kimia selama dua minggu. Proses ini juga bagi membuang kanji dan gula pada bahagian dalamannya. Buluh itu kemudiannya dikeringkan dan disapu varnis, sekali gus memastikan kekuatan dan ketahanannya.
Pada masa ini, perlindungan alam sekitar sudah menjadi tema kekal. Sebagai salah satu bahan binaan tertua untuk pembinaan rumah, buluh adalah bahan binaan hijau berkualiti tinggi yang menggabungkan kelebihan mekanikal dan estetika. Dalam kejuruteraan pembinaan, kerana sebilangan besar kayu semula jadi digunakan dalam pembinaan rumah, kayu struktur dipotong. Sangat mustahak untuk membangun bahan penjimatan tenaga, perlindungan alam sekitar dan bangunan hijau yang sihat. Buluh adalah bahan seperti itu.
Di Sarawak, belum kedengaran lagi mana-mana pihak yang mengusahakan rumah buluh. Namun, kita memuji usaha Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) yang tampil dengan kreativiti membuat basikal buluh.
Seperti kata Pengurus Besarnya, Datu Hashim Bojet, pihaknya kini menyasarkan untuk mengeksport basikal buluh buatan tempatan bagi pasaran China dan Eropah. Ia telah menjalin kerjasama strategik dengan sebuah syarikat dari Shanghai, China iaitu Brooke and Breeze, syarikat pengeluar basikal buluh di China sejak 10 tahun lalu tetapi untuk pasaran negara itu sahaja.
Basikal buluh
Kita harap Pusaka suatu hari ini nanti turut mengembangkan usaha membina rumah daripada buluh. Ini kerana tumbuhan buluh ada di mana-mana dan di dunia ini, negara tropika banyak tumbuhan buluh termasuk di Asia Tenggara.
Tidak menghairankan Laos kini memperkenalkan Pelan Kebangsaan Pemuliharaan Rotan dan Buluh pada 2021. Ini membawa kepada penggunaan buluh dan rotan besar-besaran menjadikan Laos negara yang menarik dari segi seni bina.
Pokok buluh cepat membesar dan matang untuk ditebang, kitaran hidupnya hanya tujuh tahun. Ini berbeza dengan pokok balak yang memerlukan masa hingga 60 tahun untuk mencapai tempoh matang dan dapat ditebang semula. Pokok buluh juga mempunyai kelebihan menyedut 30 peratus karbon dioksida, mengeluarkan lebih 30 peratus oksigen, menyumbang kepada keseimbangan alam.
Penyelidik dari Pusat Kajian BInaan Infrastruktur, Universiti Teknologi Sydney yang membuat kajian mengenai bahan binaan tahan gempa menemukan buluh sebagai bahan penting yang mampu menampung struktur agar ia tidak runtuh. Buluh juga sudah cukup kuat untuk menahan daya yang kuat yang terhasil daripada gempa.
Rumah buluh mempunyai kos pembinaan yang rendah dan kehidupan yang sihat. Buluh bahan mentah adalah bahan semula jadi. Oleh itu, ia juga lebih sihat dan mesra alam, tanpa bahaya.
Bagi sesetengah orang yang sudah bosan dengan kehidupan moden di bandar yang hiruk-pikuk, hingar bingar dan riuh-rendah, akan merindui untuk tinggal kembali ke alam semula jadi. Mungkin rumah buluh di desa dan kampung.
* Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.