
KUALA LUMPUR: Kelebihan inisiatif Budaya Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dijadual bermula pada 15 April ini, bukan sekadar penjimatan bahan api, malah dijangka memberikan impak berpanjangan serta meluas terhadap budaya kerja di negara ini.
Ku Sim Ling, yang mempunyai pengalaman selama 20 tahun dalam bidang sumber manusia berkata, BDR akan menjadi pemangkin dalam memajukan konsep kerja fleksibel di negara ini, susulan penerimaan meluasnya semasa pandemik COVID-19.
“Sebagai majikan terbesar di Malaysia, sebarang dasar atau latihan yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan akan diikuti oleh sektor swasta.
“Aturan kerja fleksibel, termasuk jadual kerja hibrid ‘tiga hari di rumah, dua hari di pejabat’, bukan sesuatu yang baharu bagi majikan di Malaysia, dan ramai syarikat sudah menawarkan pelbagai jenis pendekatan berdasarkan kesesuaian sebelum arahan kerajaan berkenaan,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.
Beliau berkata, aturan kerja fleksibel (FWA) telah diterima secara rasmi dalam Akta Kerja 1955 melalui pindaan yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2023, membolehkan pekerja membuat permohonan rasmi untuk FWA berkaitan waktu, hari atau lokasi kerja.
Beliau berkata cadangan BDR oleh kerajaan kepada sektor swasta, susulan peningkatan kos akibat krisis tenaga global akan mempercepat penerimaan FWA dalam kalangan syarikat di negara ini.
Bekas ahli panel Mahkamah Perusahaan Malaysia itu berkata, matlamat utama bagi sebarang jadual kerja fleksibel adalah untuk mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni, memperkasakan pekerja serta memanfaatkan majikan melalui proses kerja yang efisien.
“Akhirnya, ia berkaitan kerja itu sendiri, iaitu bagaimana kerja boleh dilaksanakan secara paling efisien, demi manfaat kedua-dua pihak, majikan dan pekerja,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Operasi Penang Institute Ong Siou Woon berkata, banyak syarikat di Pulau Pinang sudah lama melaksanakan aturan kerja fleksibel, yang disesuaikan dengan situasi masing-masing.
“Syarikat di George Town, Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas dan Batu Kawan memang menawarkan beberapa pendekatan BDR atau FWA, meneruskan amalan yang popular sejak pandemik COVID-19,” katanya sambil menambah ada syarikat yang membenarkan amalan itu sebelum pandemik lagi.
“Sesetengah aturan dilakukan secara ad hoc apabila pekerja mempunyai urusan mendesak, manakala yang lain berdasarkan jadual, paling lazim ialah satu hingga dua hari di rumah, bakinya di pejabat, iaitu jadual hibrid,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual telefon, baru-baru ini.
Beliau berkata kemajuan teknologi telah membantu menangani isu berkaitan BDR dan FWA, khususnya dalam menyeimbangkan ‘kebebasan’ dan keberkesanan serta pemantauan kemungkinan pelanggaran.
Berdasarkan pengalaman bersama-sama menulis penilaian risiko COVID-19, yang menyediakan panduan bagi menyambung operasi tempat kerja selepas Perintah Kawalan Pergerakan untuk syarikat pada 2020, Ong berkata mengenal pasti petugas penting yang perlu hadir secara fizikal, dan menentukan mereka yang boleh bekerja jarak jauh adalah penting bagi kejayaan pelaksanaan sebarang jadual FWA.
“FWA sebenarnya membawa kebaikan untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana di Malaysia jika anda telah merancangnya, dan yang bukan dalam industri runcit atau makanan dan minuman yang mempunyai waktu operasi tetap.
“Sesetengah majikan mungkin melihat ini sebagai kerugian, tetapi jika dilihat dari kadar pengekalan staf, anda akan dapat berjimat lebih banyak, berbanding perlu melatih staf baharu apabila ada yang memilih berhenti untuk manfaat pekerjaan lebih baik, yang kemungkinan besar termasuk beberapa jenis FWA,” katanya. – Bernama