SKUAD Mukah FA mahu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di lubuk sendiri dalam dua lagi baki saingan Liga SSC-FAS 2021 bagi Zon Utara.
Pengurus pasukannya, Royston Valentine berkata dua baki aksi di lubuk’keramat’ pada pusingan kedua itu merupakan kelebihan kepada skuad bimbingan ketua jurulatih, Jamal Wasli sekali gus menuntut pasukan muda itu untuk bangkit memburu kemenangan.
“Kita ada dua lagi baki perlawanan dan beraksi sebagai tuan rumah, jadi inilah peluang untuk kita bangkit menemui sentuhan kemenangan. Saya percaya misi dan matlamat pasukan untuk ke pusingan akhir di Bintulu pada Disember ini tercapai,” katanya kepada Utusan Sarawak semalam.
Tegas beliau, kedua-dua aksi terakhir itu adalah penentu segala nasib pasukan kerana perlu mencatatkan sekurang-kurangnya satu kemenangan bagi mencerahkan peluang berada dua kelompok pasukan terbaik Zon Utara.
“Saya yakin dengan kepakaran barisan kejurulatihan serta keupayaan dan kesungguhan pemain-pemain sedia ada. Mukah FA tidak akan sama sekali mensia-siakan peluang bermain sebagai tuan rumah sekali gus mengutip mata berharga.
“Keyakinan penuh juga saya berikan kepada ketua jurulatih, Jamal Wasli yang juga bekas Penolong Jurulatih Skuad Belia Sarawak dan sudah pasti beliau ada strategi tersendiri untuk mendapatkan enam mata penuh bagi dua perlawanan terakhir ini,” ujarnya.
Sementara itu, Royston menjelaskan buat masa ini para pemain telah diarahkan untuk melakukan latihan kendiri di tempat masing-masing yang akan dipantau oleh barisan jurulatih.
“Setelah lima bulan kita tidak berlatih di padang, memang ada memberi sedikit kesan membentuk kombinasi para pemain.
“Namun, ia tidak boleh dijadikan alasan bagi kami terutamanya mengekal momentum pasukan, kerana mereka boleh melakukan latihan kendiri di rumah” tegasnya.
Beliau turut berharap apabila pemainnya kembali turun menjalani latihan berpasukan, prestasi dan kecergasan pemain dapat dipulihkan sepenuhnya selepas ini sebelum menjelangnya saingan Liga SSC-FAS yang bermula 6 November nanti.
Oleh ADI SAFARMAN