
ETHIOPIA: Di sebuah klinik di ibu negara Ethiopia, seekor keldai kedengaran merengek ketika seorang doktor haiwan cuba memotong kukunya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ethiopia dipercayai mempunyai populasi keldai terbesar di dunia, satu daripada lima jumlah keseluruhan global dan haiwan ini memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
Oleh itu, Donkey Sanctuary, sebuah badan amal dari Britain yang beroperasi di seluruh dunia, menjalankan tugas penting di klinik percumanya berhampiran Merkato, pasar terbuka terbesar di Addis Ababa.

Dalam satu lawatan baru-baru ini oleh AFP, beberapa dozen keldai ditempatkan dalam kandang, ada yang gelisah dan menendang, manakala yang lain sibuk melahap makanan. Penjaga dan doktor haiwan bergilir-gilir merawat kecederaan dan masalah mata.
Guluma Bayi, 38, berjalan lebih sejam setengah bersama dua ekor keldainya untuk sampai ke klinik tersebut.
“Sudah tiga minggu keldai saya jatuh sakit,” katanya kepada AFP.
“Seekor ada masalah kaki dan seekor lagi ada masalah perut.”

Seperti yang lain datang ke klimik tersebut, Guluma sangat bergantung kepada keldainya untuk mencari rezeki. Dia menggunakan keldai tersebut untuk mengangkut jerrycan berisi air untuk dijual kepada penduduk kampungnya.
“Selepas mereka jatuh sakit, saya tak mampu beli roti untuk anak-anak saya,” katanya.
Selepas rawatan berjaya, Guluma dapat pulang bersama kedua-dua ekor keldainya.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) menyatakan bahawa Ethiopia memiliki sekitar sembilan juta ekor keldai setakat 2018.

Keldai memainkan peranan ekonomi yang besar di negara Afrika Timur ini, yang mempunyai sekitar 130 juta penduduk.
Keldai digunakan untuk membajak sawah dan mengangkut barangan, menjadi alternatif yang lebih murah berbanding kenderaan, terutama ketika harga petrol meningkat dengan mendadak.
“Ada satu peribahasa di Ethiopia: jika kamu tidak mempunyai seekor keldai, kamu sendiri adalah seekor keldai,” kata Tesfaye Megra, penyelaras projek Donkey Sanctuary sambil ketawa.
Badan amal tersebut beroperasi di beberapa wilayah di seluruh negara dan membuka pusatnya di Addis Ababa pada 2007.

“Mereka adalah haiwan yang tidak ternilai dan mereka menderita walaupun memberi pelbagai perkhidmatan kepada masyarakat,” kata Tesfaye.
Seorang lagi pengunjung klinik, Chane Baye, berkata beliau menggunakan dua ekor keldainya untuk mengangkut guni berisi bijirin untuk dijual kepada pelanggan di seluruh bandar.
Perkhidmatan keldai itu membolehkannya memperoleh antara 200 hingga 400 birr sehari (sekitar AS$1.50 hingga AS$3) — satu jumlah yang agak baik di negara yang mana satu pertiga penduduknya hidup di bawah garis kemiskinan.
Lelaki berusia 61 tahun itu datang setiap tiga bulan untuk memeriksa keadaan keldainya — “setiap kali mereka mula tempang atau ada masalah perut,” katanya.
“Dulu sebelum ada klinik ini, kami gunakan cara tradisional untuk merawat mereka,” tambahnya, merujuk khusus kepada kaedah mencabut kuku keldai secara kasar menggunakan pisau.
Kini, beliau bersyukur kerana keldainya menerima rawatan profesional untuk luka dan jangkitan. – AFP