
SIBU: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman denda RM10,000 atau penjara sebulan terhadap seorang lelaki atas pertuduhan menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan dalam talian atau ‘scammer’.
Majistret Romario Jonoi menjatuhkan hukuman itu setelah menerima pengakuan bersalah tertuduh yang dikenali sebagai Dennielson Ajup, 26, setelah pertuduhan dibacakan kepadanya oleh juru bahasa mahkamah.
Terdahulu, Dennielson didakwa secara tidak langsung terlibat dalam transaksi kemasukan wang RM10,000 ke dalam akaun banknya tanpa tujuan sah di kedai alat tulis di sini pada 7 Januari 2026, kira-kira 10.09 pagi.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424C(1) Kanun Keseksaan yang membawa kepada denda sehingga RM150,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu, seorang lelaki berusia 30 tahun, menerima panggilan daripada seorang lelaki Cina memperkenalkan diri sebagai Mr Lim mendakwa sebagai peguam yang boleh membantu pengadu menguruskan hal probet atau harta pusaka.
Meskipun tidak pernah berurusan dengan lelaki terbabit, pengadu yang ketika itu sedang mencari peguam bagi membantu menguruskan hal probet ladang milik mendiang ayahnya, percaya dengan penjelasan yang diberikan oleh Mr Lim.
Mr Lim kemudian menawarkan khdimat guaman kepada pengadu dan meminta bayaran RM10,000 bagi proses tersebut, dimana pengadu kemudian membuat tiga transaksi pemindahan wang ke dalam akaun milik tertuduh.
Setelah bayaran itu dibuat, pengadu tidak menerima sebarang resit rasmi, surat atau dokumen berkaitan berhubung proses probet, sebelum menyedari telah ditipu oleh individu yang dikenali sebagai Mr Lim.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam, gagal membayar denda yang dikenakan dengan diperintah menjalani hukuman penjara sebulan.
Oleh Akun Giman