KOTA SAMARAHAN: Kelawar bakal menjadi petunjuk penting dalam menilai tahap biodiversiti landskap sawit menerusi kajian selama dua tahun hasil kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dan Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF).
Kajian itu menggunakan kelawar sebagai bioindikator utama menilai perubahan kepelbagaian dan aktiviti hidupan liar di kawasan hutan, sempadan hutan dengan ladang serta kawasan tanaman sawit yang terletak lebih jauh dari hutan.
Kelawar dipilih kerana haiwan itu sensitif terhadap perubahan persekitaran, termasuk struktur habitat, ketersediaan sumber makanan dan tahap gangguan.
Corak kehadiran, kepelbagaian spesies dan aktiviti kelawar sekali gus mampu memberikan gambaran mengenai keadaan ekologi sesuatu landskap.
Kajian bertajuk Penilaian Pelbagai Habitat di Kawasan Peralihan Hutan–Ladang Sawit Menggunakan Pensampelan Kelawar di Ladang WILMAR itu akan dilaksanakan di enam ladang sawit milik PPB Oil Palms Berhad, Wilmar di Miri dan dijangka selesai pada akhir 2027.
MPOGCF menyediakan pembiayaan sebanyak RM190,000 bagi kajian yang diketuai Pengarah Institute of Biodiversity and Environmental Conservation (IBEC) UNIMAS, Prof. Ts. Dr. Mohd Azlan Jayasilan Abdul Gulam Azad.
Kajian berkenaan bukan sekadar merekodkan spesies kelawar yang terdapat di kawasan terbabit, sebaliknya akan menghasilkan bukti saintifik bagi membantu industri memahami peranan pengurusan landskap sawit dalam menyokong biodiversiti dan fungsi habitat.
Dapatan kajian turut diharap dapat mengenal pasti perbezaan nilai biodiversiti antara kawasan hutan, zon peralihan hutan-ladang dan tanaman sawit, sekali gus membantu pemain industri membuat keputusan berkaitan pemuliharaan berasaskan bukti saintifik.
Kerjasama itu dimeterai menerusi pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara MPOGCF dan UNIMAS di Kampus Induk UNIMAS di sini pada 13 Ogos lalu.
MPOGCF diwakili Pengurus Besarnya, Hairulazim Mahmud, manakala UNIMAS diwakili Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib.
Majlis itu disaksikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MPOGCF, Dr. Ramle Moslim.
MPOGCF yakin hasil kajian berkenaan dapat menyediakan asas saintifik yang lebih kukuh kepada industri sawit Malaysia dalam merancang dan mempertingkat usaha pemuliharaan biodiversiti, khususnya di kawasan pertemuan habitat hutan dengan landskap tanaman sawit.




