
BINTULU: Jurang pencapaian pelajar pinggir bandar bakal ditangani melalui pelaksanaan kelas tambahan percuma yang dirancang khusus untuk pelajar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, program itu memberi tumpuan kepada subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sebagai langkah strategik memperkukuh keupayaan pelajar dalam bidang kritikal masa depan.
“Kita mahu pelajar pinggir bandar seperti di Jepak mendapat peluang yang sama rata untuk cemerlang terutamanya dalam bidang STEM yang menjadi tunjang pembangunan Sarawak akan datang,” katanya.
Kelas tambahan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama sekolah-sekolah berdekatan dan dijangka berlangsung selepas waktu persekolahan atau hujung minggu tanpa sebarang bayaran.
Inisiatif ini juga dilihat sebagai pelengkap kepada pelbagai bantuan sedia ada, termasuk bantuan tunai RM1,200 setahun dan komputer riba melalui Yayasan Sarawak.

Tegas Iskandar, pendidikan bukan hanya soal bantuan kewangan tetapi sokongan berterusan untuk memastikan pelajar bersedia bersaing di peringkat lebih tinggi.
“Jika kita tidak bantu dari sekarang, pelajar pinggir bandar akan terus ketinggalan.
“Kelas tambahan percuma ini adalah pelaburan jangka panjang,” ujarnya.
Program kelas tambahan itu dijangka bermula tahun ini, dengan pelaksanaan perintis di beberapa sekolah terpilih di Jepak.
Sehingga Julai 2025, seramai 133 pelajar telah menerima manfaat bantuan pembelajaran melalui Pusat Khidmat Rakyat DUN Jepak sejak ia diperkenalkan pada September tahun lalu.
Oleh Carolyne Utih