KELAS dewasa ditubuhkan di kawasan pinggir bandar dan kawasan luar bandar bertujuan untuk membasmi buta huruf.
Lanjutan daripada kelas dewasa, Rancangan Pedoman Tugasan (RPT) diwujudkan dengan matlamat yang sama untuk membasmi buta huruf melalui konsep 3M iaitu Membaca, Menulis dan Mengira.
Menurut Pembantu Pembangunan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Siti Salmah Abdullah, pada masa ini Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) merupakan lanjutan daripada RPT.
Katanya ia merupakan satu aktiviti tidak formal yang memberi peluang kepada warga dewasa, belia-beliawanis dan golongan remaja yang tercicir daripada pendidikan formal dan mendapatkan bimbingan asas 3M.
Menurut Siti yang telah berkhidmat hampir 30 tahun dengan KEMAS, program PLF adalah program untuk membasmi buta huruf yang bermatlamat meningkatkan tahap literasi di luar bandar dan pedalaman melalui 3M ke arah meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Katanya kumpulan sasar untuk mengikuti PLF ini ialah orang dewasa, belia-beliawanis dan golongan remaja yang tercicir daripada pendidikan formal.
Menceritakan tentang sejarah kelas dewasa di Marudi, Siti Salmah memberitahu, sekolah dewasa di Marudi bermula pada tahun 1991 dengan tenaga pengajar pada ketika itu hanyalah beliau sendiri.
Katanya Rumah Majelit Sungai Meno Tinjar Lapok Baram menjadi kawasan pedalaman pertama dibuka untuk tujuan PLF.
Kawasan ini menurut Siti adalah dari suku kaum Penan dengan jumlah kumpulan peserta pertama seramai 15 orang.
“Kini kelas PLF Kemas semakin bekembang dan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat pedalaman yang memerlukan perkhidmatan daripada PLF Kemas,” katanya.
Selain itu, tegas Siti, PLF Kemas Baram telah menunjukkan peningkatan dari segi penambahan dua tenaga pengajar iaitu Rita Sultan Abdullah dan Rosmawati Peterus.
Katanya hasil daripada PLF Kemas, peserta memperoleh pelbagai pengalaman dan kelebihan masing-masing seperti berkemampuan dalam menerapkan asas 3M dalam kehidupan seharian mereka.
Selain dari mempelajari 3M, peserta juga dapat menimba ilmu tambahan seperti kemahiran kraf tangan dan masakan.
“Perkhidmatan Kelas Pendidikan Literasi Kemas Baram telah banyak membantu dalam membasmi golongan buta huruf di kawasan pedalaman dan belia-beliawanis yang tercicir dari pendidikan normal,” tambah Puan Siti.
Oleh JIKU JUGUONG