TAJUK ini sebenarnya muncul apabila saya melakukan penyelidikan di Arkib National di Kew Garden, London. Semasa di kafeteria arkib tersebut, saya terpandang satu menu yang tertera perkataan coconut milk. Menarik juga perkara ini kerana potensi kelapa itu amat besar sampai boleh dipasarkan ke benua Eropah. Malah, ia menjadi salah satu diet pemakanan masyarakat Eropah.
Hal ini menunjukkan kelapa ini mempunyai pelbagai kegunaan. Hal ini sinonim dengan makna yang diberi kepada pokok kelapa sebagai Pokok Seribu Guna (orang Melayu), Pokok Kehidupan atau Pokok Syurga (Filipina) dan Pokok Yang Lumayan (Indonesia).
Asal-usul kelapa ini pula terletak di rantau yang dikenali sebagai Malesia yang meliputi Asia Tenggara, Australia, New Guinea dan beberapa gugusan pulau di Pasifik. Asal-usul ini menunjukkan bahawa kelapa memang tidak asing lagi bagi penduduk Sarawak kerana asalnya di rantau yang sama.
Kampung
Apabila James Brooke sampai ke Sarawak dan membina kerajaan, ekonomi Sarawak lebih kepada hasil antimoni, emas, hasil hutan dan sagu, manakala kelapa pula tidak dicatat sebagai hasil utama untuk ekonomi Sarawak ketika itu. Namun demikian menerusi catatan dan penulisan orang Barat, kelapa memang telah ditanam dan digunakan oleh penduduk tempatan. Ranee Margaret Brooke pernah mencatat bagaimana pokok kelapa tumbuh subur di kampung Melayu, Lingga. Semasa lawatan beliau ke beberapa tempat di Sarawak, beliau juga sering dihidangkan makanan berasaskan kelapa seperti kuih kelapa dan coconut milk.
Harriette McDougall pernah menceritakan bagaimana orang Melayu menggunakan kelapa dalam kehidupan seharian mereka. Beliau menyatakan setiap rumah orang Melayu di Kuching akan ditanam dengan beberapa batang pokok kelapa. Kegunaan kelapa dalam kalangan orang Melayu menurut beliau adalah untuk minyak kelapa dan santan. Minyak kelapa ini biasa digunakan untuk tujuan mengoreng dan membuat kuih.
Selain itu minyak kelapa ini juga digunakan untuk menyalakan lampu. Ada juga yang akan meletakkan haruman bunga ke dalam minyak tersebut untuk dilumurkan pada rambut dan kulit mereka. Namun demikian, ketika itu kegunaan kelapa sudah meluas dan menarik industri-industri di Barat untuk menggunakan kelapa bagi pembuatan lilin, marjerin dan sabun termasuk juga minyak masak.
Perdagangan
Rentetan daripada hal itu, kelapa mula mendapat pemintaan tinggi bukan sahaja di dalam negeri tetapi juga peringkat dunia. Secara beransur-ansur juga kelapa mula menempatkan dirinya dalam senarai eksport Sarawak. Menerusi senarai perdagangan untuk Kuching pada November 1906, dinyatakan bahawa pengimportan buah kelapa lebih banyak dilakukan. Nilai import buah kelapa pula adalah $387.
Selain kelapa, terdapat juga pengimportan kopra ke Kuching yang bernilai $856 pada tahun sama. Angka ini menunjukkan bahawa kelapa dan kopra merupakan barang yang diperlukan oleh masyarakat tempatan.
Dicatatkan juga bahawa Kuching mengeksport kopra pada tahun 1906. Sebanyak 55 pikul kopra dengan nilai $550 dieksport dari Kuching pada tahun tersebut.
Pada 1925, kopra tersenarai sebagai barang dagangan yang penting bagi eksport Sarawak. Jika mengikut urutan barang dagangan kopra ditangga ke-13 daripada 45 hasil dagangan Sarawak yang utama. Bagaimanapun, kelapa dan kopra masih lagi menjadi barang import bagi Sarawak. Hal ini menunjukkan Sarawak boleh menghasilkan kelapa termasuk kopra tetapi masih belum dapat menampung pemintaan domestik. Pada 1936 kopra masih lagi mempunyai kedudukan utama dalam eksport Sarawak. Daripada jenis-jenis tanaman komersial yang dieksport, kopra menduduki tempat keempat dalam nilai eksport hasil pertanian di Sarawak.
Penanaman
Oleh kerana terdapatnya kepentingan dalam nilai eksport kelapa ini, maka kerajaan Brooke mengalakkan penanaman kelapa dalam kalangan penduduk Sarawak. Setakat 1929, keluasan untuk penanaman kelapa hanyalah kira-kira 17,000 ekar. Jumlah ini bertambah luas pada 1931 dengan keluasan kira-kira 19,963 ekar yang ditanam dengan kelapa.
Penanaman kelapa ini rata-ratanya terdiri daripada orang Melayu, Bugis dan Cina. Terdapat juga syarikat-syarikat Barat menanam kelapa di Sarawak. Salah satu syarikat ini ialah Rejang (Sarawak) Plantation yang cuba membuka estet untuk menanam kelapa selain tanaman komersial lain di Bahagian Ketiga Sarawak. Penanaman kelapa ini dilihat bertambah penting dengan pengeksportan kopra yang meningkat pada 1929. Peningkatan ini sebanyak 218 tan berbanding tahun sebelumnya. Jumlah eksport kopra ini terus meningkat pada 1930 dengan peningkatan sebanyak 477 tan.
Dalam membantu penanam-penanam kelapa ini diwujudkan jawatan Coconut Field Officer. Pegawai ini bertindak dengan menunjukkan cara-cara penanaman kelapa dengan baik, dan mengadakan demontrasi untuk mengatasi masalah seranga perosak dan penyakit pokok kelapa. Penyakit pokok kelapa ini kebanyakannya adalah reput tunas dan ‘bleeding disease’ yang tidak begitu serius dan berlaku di beberapa tempat sahaja. Ancaman terbesar kepada penanaman pokok kelapa ini datang dari haiwan dan seranga perosak seperti khinzir hutan, tupai, kumbang dan semut putih.
Pihak kerajaan juga melakukan beberapa usaha untuk membangunkan industri penanaman kelapa ini dengan merancang program pengairan di kawasan Samarahan dan Moyan pada 1930. Di kawasan yang kosong antara Sungai Samarahan dan Sungai Sadong pula dikhaskan untuk rizab penanaman kelapa. Kawasan ini dikatakan mempunyai tanah sesuai untuk tanam kelapa. Pihak kerajaan juga berusaha untuk mengimport baka kelapa dari luar negeri untuk ditanam di Sarawak. Kuching menjadi tapak semaian kelapa-kelapa ini sebelum dihantar ke tempat lain.
Pengilangan
Kegiatan penanaman kelapa ini juga membawa kepada industri pengilangan minyak kelapa. Pada 1931 sebanyak 3,085 pikul kopra diekstrak untuk dijadikan minyak kelapa daripada 9,923 pikul kopra. Namun demikian minyak kelapa yang dihasilkan ini hanya untuk kegunaan tempatan. Sejarah industri penanaman kelapa di zaman Brooke menunjukkan perkembangan baik dengan peningkatan eksport kopra.
Pihak kerajaan juga membantu mempertingkatkan penanaman kelapa ini. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kelapa yang dikenali sebagai pokok serbaguna ini mempunyai potensi dan masa depan yang baik untuk ekonomi Sarawak.
- Dr. Suffian Mansor adalah Ketua Program Sejarah, Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).