
Pemain Plymouth Argyle, Ryan Hardie (tengah) meraikan jaringan ketika aksi pusingan keempat Piala FA menentang Liverpool di Home Park, Plymouth.
PLYMOUTH: Pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Liverpool dimalukan dalam saingan Piala FA apabila dikejutkan dengan kekalahan 1-0 di tangan kelab tercorot divisyen dua, Plymouth Argyle.
Kekalahan itu memberi tamparan hebat buat skuad The Reds yang diletakkan sebagai pilihan untuk melepasi pusingan keempat itu namun sebaliknya yang berlaku.
Gol tunggal perlawanan itu diraih menerusi sepakan penalti pada minit 53 selepas bola terkena tangan Harvey Elliott dan Ryan Hardie menyempurnakannya dengan menewaskan penjaga gol, Caoimhin Kelleher.
“Kami semua datang ke sini dengan impian dan kami melakukannya. Tekanan cukup tinggi. Ia tentang memilih arah mana, dan saya komited dengannya,” kata Hardie berkenaan sepakan penaltinya.
Dalam aksi itu, Liverpool melakukan 10 pertukaran ke atas skuad yang menewaskan Tottenham Hotspur 4-0, hanya mempunyai satu percubaan tepat di babak pertama, dengan penjaga gol Plymouth, Conor Hazard menyelamatkan percubaan jarak jauh James McConnell pada minit ke-36.
Menjelang aksi tetangga Merseyside menentang Everton pada Rabu, Liverpool merehatkan Mohamed Salah, Virgil van Dijk, Alisson Becker, Alexis Mac Allister dan beberapa tonggak utamanya.
Skuad kendalian Arne Slot mempunyai beberapa peluang menyamakan kedudukan dalam masa kecederaan, tetapi Hazard muncul wira tuan rumah dengan menafikan percubaan Diogo Jota dan Darwin Nunez.
Kekalahan itu meranapkan impian Liverpool untuk memburu empat kejuaraan musim ini, tetapi mereka masih selesa mendahului EPL, berada di kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah dan mara ke final Piala Liga.
Slot bagaimanapun tidak kesal dengan keputusannya merombak kesebelasan utamanya.
“Tidak kerana kami sudah melihatnya beberapa kali, ia gaya permainan yang sukar. Saya rasa hari ini menunjukkan mengapa kami bermain dengan siapa yang kami turunkan, mereka memerlukan momentum untuk bersedia bagi bulan-bulan akan datang.
“Keputusan ini sangat mengecewakan. Cara kami bermain, tidak menggembirakan. Tahniah buat Plymouth, perancangan yang baik, bekerja keras dan jelas yang jelas, keputusan tepat,” kata Slot