
SIMANGGANG: Kelab Sosial dan Sukan Jabatan Tanah dan Survei (LANDAS) Sri Aman tampil menunjukkan keprihatinan dengan menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran Kampung Tengah yang kini ditempatkan di Pusat Pemindagan Sementara (PPS) Dewan Seri Lemanak, Jalan Stawang.
Kebakaran yang berlaku pada 29 Julai lalu mengakibatkan empat rumah musnah sepenuhnya, manakala dua lagi kediaman mengalami kerosakan kira-kira 80 peratus.
Kehadiran Kelab LANDAS Sri Aman diketuai oleh Pengerusinya, Michealson Nyisin yang juga Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman, bersama beberapa ahli kelab lain.
Dalam kunjungan itu, mereka telah menyampaikan bantuan berupa barangan makanan, keperluan asas, pakaian dan wang tunai hasil sumbangan warga kerja Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman.
Menurut Michealson, sumbangan ini adalah sebagai tanda solidariti dan keprihatinan pihak jabatan terhadap mangsa kebakaran yang kini berhadapan saat-saat sukar.
“Semoga bantuan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mangsa yang terlibat, dan kita doakan agar mereka terus tabah menghadapi dugaan ini,” katanya.
Majlis penyerahan sumbangan turut disaksikan oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, yang secara kebetulan turut berada di lokasi bagi menyantuni mangsa terlibat.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Kelab LANDAS Sri Aman atas inisiatif dan keprihatinan yang ditunjukkan dalam membantu masyarakat setempat yang ditimpa musibah.
Oleh Adi Safarman